Bekas bintang Arsenal, Thomas Partey didakwa di mahkamah atas lima tuduhan rogol dan satu tuduhan serangan seksual.
Akhbar Daily Mail melaporkan Partey, 32, dituduh menyerang tiga orang wanita sekitar 2021 dan 2022.
Dakwaan tersebut difailkan selepas siasatan selama tiga tahun yang dijalankan Polis Metropolitan London. Dakwaan itu timbul tidak lama selepas Partey meninggalkan Arsenal pada 30 Jun lalu.
Pemain tengah Ghana itu berdepan dua dakwaan rogol membabitkan seorang wanita. Beliau turut berdepan tiga dakwaan rogol membabitkan seorang lagi wanita.
Satu lagi tuduhan ialah tuduhan serangan seksual ke atas wanita yang ketiga. Partey dijangka tampil di Mahkamah Majistret Westminster pada 5 Ogos ini.
Detektif Superitendan Andy Furphy yang mengetuai siasatan kes berkenaan memohon orang ramai terutama wanita yang memiliki maklumat kes untuk tampil ke hadapan.
Sebelum ini, Partey ditahan pihak berkuasa bagi membantu siasatan kes rogol pada Julai 2022. Walau bagaimanapun, identitinya tidak didedahkan pada ketika itu dan beliau terus bermain dengan Arsenal dalam tempoh ikat jamin.
Partey dilaporkan beraksi untuk The Gunners sebanyak 50 kali sepanjang tempoh yang dikatakan.