Nama bekas bintang Manchester United, Memphis Depay menjadi bualan apabila menjadi punca pergaduhan membabitkan pemain Palmeiras dan Corinthians.
Talksport melaporkan ini disebabkan tindakannya berdiri di atas bola dalam minit-minit terakhir final Campeonato Paulista antara dua pasukan gergasi Brazil itu.
Pada ketika itu, Corinthians memiliki kelebihan agregat 1-0. Palmeiras terdesak untuk mengurangkan defisit satu gol dan mengheret perlawanan ke masa tambahan.
Selepas menerima hantaran rakan sepasukan, Depay bertindak berdiri di atas bola dengan tujuan melengahkan minit permainan. Situasi ini mendorong seorang pemain Palmeiras menolak beliau untuk mendapatkan bola.
Ini mencetuskan pergaduhan antara pemain dan staf kejurulatihan kedua-dua pasukan. Selepas situasi kembali tenang, pengadil melayangkan kad merah kepada Marcelo Lomba (Palmeiras) dan Jose Martinez (Corinthians).
Sebelum itu, jurulatih Palmeiras, Abel Ferreira turut dilayangkan kad merah kerana membantah keputusan pengadil.
Meskipun aksi final tersebut mendapat masa tambahan sebanyak 18 minit, itu tidak cukup untuk Palmeiras menghalang Corinthians bergelar juara buat kali pertama sejak 2019.
Campeonato Paulista merupakan kejohanan bola sepak peringkat negeri di Brazil membabitkan pasukan-pasukan yang berpangkalan di wilayah Sao Paulo.
Kejohanan ini juga dilihat pemanas badan semua pasukan sebelum saingan Campeonato Brasileiro Serie A bermula pada hujung minggu ini.
Susulan kejayaan Corinthians bergelar juara, Depay mendapat bonus kejuaraan sebanyak €760,000 (RM3.65 juta). Jumlah tersebut hampir menyamai hadiah kemenangan pasukan itu berjumlah €809,000 (RM3.88 juta).
Depay pernah beraksi untuk Manchester United dari 2015 hingga 2017. Selepas meninggalkan Old Trafford, pemain sayap Belanda itu beraksi untuk Olympique Lyon, Barcelona dan Atletico Madrid.
Selepas bergelar ejen bebas pada musim panas 2024, Depay menyertai Corinthians pada September tahun sama.
Pemain sayap Belanda itu dijangka disertai seorang lagi bekas bintang United, Paul Pogba. Selepas selesai menjalani penggantungan pada awal Mac lalu, Corinthians dilaporkan berminat membawanya ke Brazil.