Advertisements
Bekas Jurulatih China Mengaku Terima Rasuah RM47 Juta
Asia
MakanBola
China PR National Football Team

Bekas jurulatih China, Li Tie mengaku bersalah menerima rasuah bernilai hampir RM47 juta sewaktu perbicaraan mahkamah yang membongkarkan rasuah dalam bola sepak China.

Li Tie dan bekas pengerusi Persatuan Bola Sepak China, Chen Xuyuan antara yang menjalani perbicaraan mahkamah atas salah laku menerima rasuah.

Chen Xuyuan menerima hukuman penjara seumur hidup pada minggu ini kerana menerima rasuah bernilai RM52 juta.

Li Tie yang turut merupakan bekas pemain Everton meraih perhatian para wartawan ekoran beliau pernah memegang jawatan ketua jurulatih pasukan China selama dua tahun dari Januari 2020 hingga Disember 2021 yang lalu.

Jurulatih berusia 46 tahun itu turut muncul dalam sebuah dokumentari CCTV pada Januari lalu yang membongkarkan masalah rasuah yang meluas dalam bola sepak China.

CCTV kerap menyiarkan pengakuan daripada suspek jenayah sebelum mereka dihadapkan ke mahkamah dan dalam program tersebut, Li Tie berkata dia telah mengatur hampir RM1.99 juta sebagai rasuah untuk mendapatkan jawatan ketua jurulatih dan mengatur perlawanan ketika dia menjadi jurulatih kelab dalam Liga Super China.

“Saya benar-benar minta maaf. Saya sepatutnya berfikir dengan lebih rasional dan mengikut jalan yang betul. Ada perkara tertentu yang pada masa itu menjadi amalan biasa dalam bola sepak.” tambah Li Tie.

Li Tie pernah merekodkan hampir 100 penampilan buat pasukan kebangsaan China dan beliau turut melakukan 34 penampilan buat Everton dalam Liga Perdana Inggeris antara tahun 2002 hingga 2004.

Mahkamah akan memutuskan nasib Li Tie dalam waktu yang terdekat setelah beliau mengaku bersalah menerima rasuah dan mengatur perlawanan ketika menjadi jurulatih China dan jurulatih kelab dalam Liga Super China.