Bekas Jurulatih USA Jadi Buruan Korea Selatan
Asia
BBC Sport
Advertisements

Selepas Paulo Bento meletak jawatan sebagai jurulatih Korea Selatan pasca-Piala Dunia 2022, Persatuan Bola Sepak Korea Selatan (KFA) berusaha mengisi kekosongan yang ditinggalkannya. Difahamkan bekas jurulatih Amerika Syarikat, Jurgen Klinsmann dicanang sebagai pengganti Bento.

Klinsmann dilihat sebagai pilihan utama KFA untuk mengisi kerusi panas itu. Malah, menurut portal The JoongAng, KFA merancang bakal meneruskan rundingan dengan bekas penyerang Jerman itu di Amerika Syarikat bagi memuktamadkan perjanjian sebagai jurulatih Pahlawan Taeguk.

Klinsmann dilihat calon sesuai untuk Korea Selatan kerana mempunyai pengalaman di peringkat antarabangsa sebagai pemain dan jurulatih. Semasa aktif sebagai pemain, beliau dikenali sebagai Blonde Bomber disebabkan rambut perangnya yang panjang.

Advertisements

Dalam temasya Piala Dunia 1990, bekas penyerang Bayern Munich itu meledakkan tiga gol semasa membantu Jerman menjulang piala berprestij itu. Dalam temasya Piala Dunia 2006 pula, Klinsmann membimbing Die Mannschaft menggondol tempat ketiga menewaskan Portugal.

Pengalaman ini diharap dapat membantu Korea Selatan tampil lebih disegani di pentas dunia. Menariknya, Klinsmann dikenali oleh penyokong Korea kerana meledakkan dua gol yang membantu Die Mannschaft menewaskan Korea Selatan 3-2 dalam Piala Dunia 1994.

Selain itu, beliau turut berkongsi kelab yang sama dengan kapten Son Heung-min iaitu Tottenham Hotspur. Walaupun hanya bermain semusim di White Hart Lane pada 1994-1995, ramai mengenang Klinsmann sebagai penyerang legenda kelab berkenaan.

Advertisements

Selain Jerman dan Amerika Syarikat, Klinsmann juga pernah membimbing Bayern Munich dan Hertha Berlin. Sebelum beliau, KFA turut berminat dengan bekas jurulatih Sepanyol dan AS Monaco, Robert Moreno untuk diambil sebagai jurulatih Korea Selatan.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram