Selepas meninggalkan JDT pada pertengahan tahun 2022, ramai tertanya-tanya destinasi terbaru bekas penganalisis pasukan Haydee Agras. Hantaran terbarunya di Instagram mendedahkan dia kini bersama pasukan EPL, Brentford.
Sebelum menerima tawaran Bees, Haydee sempat menjadi pengulas jemputan perlawanan La Liga untuk radio Cadena Ser pada Ogos tahun lepas. Dia dijemput bagi memberi analisis dari segi taktikal untuk perlawanan Celta Vigo-Espanyol.
Nama Haydee jadi perhatian penyokong bola sepak negara disebabkan peranannya sebagai penganalisis perlawanan JDT dari 2019 hingga 2022. Ini kerana jarang sekali penyokong melihat wanita sebagai sebahagian daripada staf kejurulatihan pasukan.
Sebagai penganalisis perlawanan, Haydee bertanggungjawab membantu barisan kejurulatihan JDT ketika itu menilai kekuatan dan kelebihan lawan serta menilai kemampuan pasukan sendiri.
Disebabkan input yang diberinya, JDT muncul juara Liga Super (2019-2021) dan Piala Malaysia (2019). Haydee kemudiannya meninggalkan kelab susulan keputusan Benjamin Mora meletak jawatan sebagai jurulatih JDT.
Peranan ini juga akan digalasnya di Brentford bagi membantu pengurus Thomas Frank mencorak kesebelasan Bees beraksi lebih konsisten untuk baki saingan EPL musim ini.
Haydee tidak akan berdepan masalah menyesuaikan diri di Stadium Komuniti Gtech. Ini kerana ahli statistik taktikal Bees iaitu Bernardo Cueva dan jurulatih penjaga gol Manu Sotelo mampu berbahasa Sepanyol.