Bekas penyerang Kuching City FC, Pedro Henrique memilih berkelana ke Brazil selepas meninggalkan pasukan Liga Super itu.
Selepas sah tidak lagi bersama The Cats baru-baru ini, peminat pasukan itu ingin tahu pasukan mana yang menjadi pilihan Henrique.
Kini, penyerang berusia 33 tahun itu sah menyertai kelab Brazil, CS Sergipe. Beliau menjadi sebahagian daripada 25 pemain baru yang menyertai pasukan tersebut.
“Penyerang berusia 33 tahun itu memiliki kerakyatan Timor Leste, pernah beraksi dalam Sukan SEA mewakili Timor Leste di mana beliau menjaringkan tiga gol dalam lima perlawanan kejohanan.
“Beliau memiliki pengalaman karier beraksi di kelab antarabanga selama 12 tahun dari Malaysia, Qatar, Oman, Iran, South Korea, Malta, Thailand, Bahrain, Bangladesh, Indonesia dan Angola. Selamat datang, Pedro Henrique!” kata kelab dalam satu kenyataan.
Sepanjang bersama Kuching City, beliau merekodkan 25 penampilan, empat gol dan satu bantuan gol. Selain The Cats, Henrique juga pernah beraksi untuk Sri Pahang FC, PJ City FC dan PKNS FC.
Ketiadaan Henrique menyaksikan Kuching City kini memiliki James Okwuosa, Tchetche Kipre, Jordan Mintah, Yuki Tanigawa, Nando Welter, Petrus Shitembi dan Moses Atede sebagai tonggak import utama pasukan.