Bekas Peledak Liga Sepanyol Sertai Kelantan
MakanBola
Khon Kaen United

Selepas sekatan perpindahan yang dikenakan MFL ditarik balik, Kelantan FC segera memperkuatkan pasukan dengan membawa masuk penyerang berdarah Maghribi-Sepanyol, Youssef Ezzejiari.

Pengumuman perpindahan ini dibuat The Red Warriors (TRW) menerusi laman media sosial rasmi mereka hari ini.

Sebelum itu, Nikfalovic mendedahkan Kelantan FC bakal mendapatkan seorang penyerang Sepanyol bagi menambah ketajaman di bahagian serangan.

Ezzejiari pernah beraksi untuk kelab Thai League 1, Khon Kaen United pada musim lepas. Bekas penyerang Oyonesa itu juga bukan asing dalam kalangan peminat Liga 1 Indonesia kerana pernah beraksi untuk Persik Kediri dan Bhayangkara.

Mengikut statistik Transfermarkt, Ezzejiari merekodkan 44 penampilan bersama dua pasukan itu. Dalam tempoh tersebut, beliau merekodkan 22 gol dan tiga bantuan gol.

Penyerang Maghribi itu dijangka bukan satu-satunya penambahan baru untuk jentera serangan Kelantan FC. Difahamkan TRW juga bakal membawa masuk penyerang Terengganu, Jordan Mintah sebelum tetingkap perpindahan kedua Liga Malaysia berakhir pada 1 Ogos ini.