Nama Emil Roback bakal menjadi aset wakil Thailand, Muangthong United bila mengharungi saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).
Roback menjadi antara 13 pemain baru yang direkrut The Kirins untuk mengharungi kempen 2024/25 mengikut data Transfermarkt.
Penyerang berusia 21 tahun itu menyertai John-Patrick Straub, Ronaldo Kwateh, Aly Cissokho, Jacob Mahler, Felicio Brown, Abbos Otakhonov, Scott Woods dan Denis Busnja sebagai tonggak import baru pasukan.
Roback mampu menjadi aset buat Muangthong di bahagian serangan kerana memiliki ketinggian 1.88 meter. Kelebihan fizikal ini bukan saja boleh dimanfaatkan The Kirins dalam situasi sepakan percuma.
Malah, kelebihan ini memastikan Roback tidak mudah dibuli pertahanan lawan dalam Kumpulan H. Satu-satunya pasukan yang memiliki kelebihan fizikal dalam Kumpulan H untuk mengatasi bekas penyerang A.C Milan itu ialah Jeonbuk Hyundai Motors.
Ini kerana Jeonbuk memiliki tiga bek tengah yang memiliki ketinggian melebihi 1.88 meter. Tiga bek tengah tersebut ialah Jin Si-woo, Lee Woo-yeon dan Kim Ha-jun.
Selain itu, jurulatih Jeonbuk, Kim Do-heon turut memiliki pilihan penjaga gol tinggi lampai untuk menangani ancaman penyerang muda Sweden itu.
Dua daripadanya memiliki ketinggian melebihi 1.89 meter iaitu Kim Jun-hong dan Gong Si-hyeon. Manakala penjaga gol utama mereka, Kim Jeong-hoon juga mampu bersaing dengan Roback kerana memiliki ketinggian 1.88 meter.
Meskipun belum menjaringkan gol dalam satu penampilan dalam saingan Thai League 1, bekas penyerang A.C Milan itu bakal menjadi sandaran pengendali Itali, Gino Lettieri dalam saingan ACL2.
Muangthong bakal berentap dalam Kumpulan H bersama Jeonbuk, Selangor FC dan wakil Filipina, Dynamic Herb Cebu. Mereka bakal menentang Selangor untuk aksi pertama kumpulan di Stadium Thunderdome pada 19 September ini.