Bekas Pemain Piala AFC Bakal Perkuat Kedah?
MakanBola
KL City FC

Selepas mendapatkan Moses Atede dan Ifedayo Olusegun, Kedah Darul Aman (KDA) FC bakal diperkuatkan dengan kehadiran pemain sayap KL City FC, J. Partiban.

Khabar ini dikongsikan oleh wartawan sukan The Star, T. Avineshwaran hari ini. Pemain sayap berusia 30 tahun itu bakal berpindah ke Stadium Darul Aman secara pinjaman sehingga akhir musim.

Sebelum ini, Partiban dilaporkan akan kekal di Stadium Cheras. Ini selepas jurulatih baru The City Boys, Nenad Bacina melihatnya sebagai sebahagian daripada perancangan pasukan sehingga akhir musim 2023.

Bagaimanapun, KDA FC berjaya menyakinkan Partiban dengan potensi skuad kendalian Nafuzi Zain itu termasuk peluang mengejar slot kelayakan Piala AFC.

Ketika ini, Sang Kenari menduduki tangga keempat liga. Tetapi mereka berpeluang mencuri tempat kedua daripada Selangor FC dan Sri Pahang FC dengan syarat kekal konsisten hingga akhir musim.

Beliau dijangka bersaing dengan Manuel Hidalgo, Fayyadh Zulkifli dan Aiman Afif untuk dua slot pemain sayap yang mengiringi Ifedayo di barisan hadapan.

Sepanjang bersama KL City FC, Partiban membantu mereka menjadi naib juara Piala AFC musim lepas dan terbaru, naib juara Piala FA 2023.