Bekas penjaga gol Kelantan FC, Rozaidi Rahamat membuat kejutan dengan menyertai skuad futsal Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC).
Kelibat beliau dikesan menjalani latihan bersama skuad futsal Harimau Selatan semalam menerusi satu perkongsian yang dibuat JDT Futsal. Ketika ini, skuad futsal JDT sedang membuat persiapan untuk aksi final Piala Futsal Malaysia.
Harimau Selatan yang dibimbing jurulatih Juan Antonio Miguel Garcia berjaya layak ke final selepas mengetepikan Selangor MAC dalam aksi separuh akhir.
JDT bakal berdepan Pahang Rangers di pentas final sekaligus berpeluang meraih trofi sulung dalam arena futsal negara.
Rozaidi bergelar ejen bebas selepas meninggalkan The Red Warriors sekitar Jun lalu. Beliau yang sebelum ini beraksi untuk JDT II sempat membuat tiga penampilan bersama Kelantan.
Sebaik kelibatnya disedari penyokong JDT, ramai merasa gembira melihat Rozaidi mendapat nafas baru dalam kariernya. Mereka juga berharap peluang itu dapat membantunya kembali beraksi di atas padang.