Bekas pertahanan pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama Arsenal FC, Isaac Hayden dikesan berdarah Malaysia.
Perkara ini dilaporkan oleh laman Frfuturetalents mengenai pemain berusia 29 tahun itu yang difahamkan memiliki pertalian darah dengan Malaysia.
Pemain kelahiran Chelmsford, England itu kini beraksi buat Queens Park Rangers (QPR) di Championship, England selepas beberapa kali dipinjamkan.
Nama beliau dikenali ramai setelah beraksi konsisten selama beberapa musim bersama Newcastle United sejak meninggalkan Arsenal pada tahun 2016.
Pemain versatil ini memiliki ketinggian 1.87 meter selain boleh beraksi pada beberapa posisi penting seperti pertahanan tengah dan juga pemain tengah bertahan.
Beliau dilaporkan memiliki pertalian darah dengan Malaysia selepas neneknya berasal daripada Kota Kinabalu, Sabah sungguhpun ibunya merupakan orang Inggeris dan bapanya warganegara Jamaica.
Isaac merupakan pemain berpengalaman luas dalam kancah bola sepak Eropah dan sudah beraksi sebanyak 17 perlawanan pada musim 2023/24.
Setakat ini, tiada pengesahan rasmi mengenai status warisan Isaac Hayden namun penambahan beliau bakal memberi impak besar sekiranya menyarung jersi Harimau Malaya.
Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin juga terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak sekiranya terdapat pemain warisan yang benar-benar berkualiti untuk mewakili negara.