Bekas bek kiri pasukan kebangsaan Nazirul Naim Che Hashim bakal menyertai KL City untu saingan Liga Malaysia musim akan datang. Ini selepas Sabah mengambil keputusan untuk tidak mengekalkan khidmatnya susulan isu kecederaan yang membelenggu bekas pemain FC Ryukyu itu.
Pendedahan tentang perpindahan ini dibuat oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam menerusi ciapannya di Twitter.
Dengan adanya Nazirul, KL City sudah boleh menghela nafas lega tentang isu bek kiri yang dihadapi sejak musim lepas. Selepas Daniel Ting meninggalkan City Boys pada 2022, City Boys menggunakan pemain-pemain berbeza di bahagian tersebut termasuk Ryan Lambert dengan keputusan yang bercampur-campur.
KL City berharap kehadiran Nazirul dapat memperkuat bahagian pertahanan mereka. Selain Nazirul, Khair Jones juga bakal menyertai City Boys sebagai pemain sokongan di bahagian berkenaan.
Kehadiran dua pemain ini diharap dapat merealisasikan matlamat Bojan Hodak untuk mencabar kedudukan liga yang lebih tinggi pada musim seterusnya. Dengan KL City tidak terikat dengan komitmen Piala AFC, itu pastinya satu sasaran yang mahu dicapai para pemain.