Benjamin Mora Raih Kemenangan Sulung Di China
MakanBola
Wuhan Three Towns FC

Bekas jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora meraih kemenangan pertamanya sebagai jurulatih Wuhan Three Towns.

Ini selepas bekas juara Chinese Super League (CSL) musim 2022 itu membelasah Dalian Yingbo 4-1 dalam aksi terbaru liga di Stadium Pusat Sukan Wuhan.

Jhonder Cadiz meletakkan tuan rumah di hadapan pada minit ke-24. Penyerang Brazil, Gustavo Sauer menggandakan kelebihan Wuhan tujuh minit selepas itu.

Bekas penyerang Wuhan, Nicolae Stanciu merapatkan jurang buat pelawat menerusi penalti pada minit akhir separuh masa pertama.

Dua minit selepas babak kedua bersambung, Killian Bevis memulihkan kelebihan dua gol Wuhan. Pemain sayap, Wang Jingxian memastikan kemenangan milik tuan rumah dengan gol pada minit ke-73.

Impak Sauer turut diiktiraf Sofascore sebagai pemain terbaik perlawanan. Bekas pemain Daejeon Hana Citizen itu mendapat markah 9.1.

Keputusan ini menyaksikan Wuhan memintas Shandong Taishan ke tangga ke-10 dengan -2 mata selepas dua perlawanan.

Hal ini berlaku disebabkan banyak pasukan CSL dikenakan pemotongan mata akibat isu rasuah dan pengaturan perlawanan.

Situasi ini mengakibatkan banyak kelab CSL memulakan musim 2026 dengan potongan mata. Ini termasuk juara bertahan, Shanghai Port.

Kejayaan ini cukup bermakna buat Mora selepas menyertai Wuhan pada awal tahun ini. Wuhan menjadi kelab keduanya di Asia dalam karier kejurulatihan beliau selepas JDT.

Mora bukan satu-satunya bekas figura JDT yang mewarnai kempen CSL. Bekas pemain import Harimau Selatan, Takahiro Kunimoto mengetuai kempen pendatang baharu liga, Liaoning Tieren.