Pengendali Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner mengakui bimbang dengan kerapuhan benteng pertahanan pasukan itu sejak kebelakangan ini.
Tiga perlawanan Liga Malaysia (Liga M) lepas menyaksikan benteng pertahanan Peteh dibolosi sebanyak lapan kali. Ini termasuk aksi separuh akhir pertama Piala FA 2024 membabitkan Terengganu dan Selangor FC.
Meskipun berjaya meraih kemenangan 3-2 pada 19 Julai lalu, Merah Kuning berjaya mencuri bekalan dua gol untuk aksi separuh akhir kedua di Stadium MBPJ. Dua gol mereka disumbangkan oleh Alvin Fortes dan Noor Al-Rawabdeh.
Hal ini merisaukan Steinbruckner kerana Selangor hanya memerlukan dua gol untuk mengatasi kelebihan agregat 3-2 yang dimiliki Terengganu ketika ini.
Atas sebab itu, beliau mahu barisan pemain Peteh mempamerkan prestasi mantap untuk menempah tiket ke final.
“Saya kata kita mendapat keputusan 3-2 (dari aksi separuh akhir pertama). Dan kita harap kita bersedia dengan perjuangan ke final kerana ini sasaran pertama kita musim ini. Keputusan tidak sempurna tetapi tidak mengapa, ianya baik.
“Mereka (Selangor) mesti menjaringkan dua gol jika mereka mahu menang. Tapi saya harap kita boleh mencipta peluang kita.
“Tetapi jika kita ingin ke final, pertahanan kita mesti jauh lebih baik sebagai satu pasukan,” katanya dalam sidang media pasca-perlawanan Terengganu-Negeri Sembilan FC baru-baru ini yang disiarkan di TFC TV.
Selangor dan Terengganu bakal berentap di Stadium MBPJ bagi menentukan siapa yang bakal mendapat tiket final Piala FA 2024.
Pemenang bakal berhadapan sama ada Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) atau Kedah Darul Aman FC (KDA FC) di pentas final.