Bergkamp, Pemain Yang Hidup Dalam Fobia Kapal Terbang Sepanjang Kariernya
Eropah
premierleague.com
Advertisements

Larian lincah, skil serta kawalan bola yang memukau lagi luar biasa, sentuhan-sentuhan magis mengelirukan dan penyudah berbisa menyaksikan Dennis Bergkamp memahat nama sebagai salah seorang genius bolasepak terbaik pernah disaksikan dunia.

Bekas bintang Arsenal ini bermain di kelab utara London itu selama 11 musim sehingga ke penghujung kariernya dan dalam tempoh itu menjulang tiga kejuaraan Liga Perdana Inggeris termasuk invincibles pada 2003/04.

Dia meledak 120 gol dalam 423 penampilan bersama the gunners lantas menyaksikannya dilabel antara pemain paling berjaya dalam jersi Arsenal sehinggakan kelab itu membina sebuah tugu untuknya di luar Stadium Emirates.

Advertisements

Di sebalik pelbagai perkara hebat dan menakjubkan boleh diperkatakan mengenai pemain Belanda ini, sesuatu yang menjadi titik kelemahannya adalah ketakutan untuk terbang, dan dia sendiri mengakui ia adalah kekalahan terbesar di dalam kariernya.

Aviofobia yang dialami Bergkamp adalah sesuatu yang mungkin diketahui peminat-peminat bolasepak, khususnya peminat Liga Perdana Inggeris, dan pada hakikatnya memberi impak besar kepada perjalanan kariernya.

Bagi perlawanan di tempat lawan yang membabitkan jarak dekat, Bergkamp akan mengambil inisiatif terbaik untuk tetap menyertai skuad tetapi jika membabitkan perjalanan jauh terutamanya perlawanan Liga Juara Eropah, tengok bola dari rumah sahaja lah jawabnya.

Advertisements

Apa punca Bergkamp alami aviofobia? 

Apa punca pemain hebat ini mempunyai fobia yang begitu teruk dan trauma mental untuk terbang? Ada beberapa perkara yang menjadi penyebabnya.

Pertamanya, Bergkamp mengalami trauma mental kerana kejadian Surinam Airways yang terhempas di Paramaribo, yang mengorbankan beberapa rakan baiknya pada 1989, ketika dia baru berusia 20 tahun.

Rakan sepasukannya di Ajax, Lloyd Doesburg serta Virgall Joemankhan yang bermain dengannya di Akademi Ajax, antara yang maut tatkala ramai daripada 176 mangsa adalah pemain di Liga Belanda yang sedang dalam perjalanan ke Surinam dari Armsterdam bagi mengambil bahagian dalam satu program amal.

Advertisements

Bergkamp sendiri mungkin menjadi salah seorang mangsa, tetapi bernasib baik kerana dia bersama-sama Ruud Gullit dan Frank Riijkard tidak mendapat pelepasan untuk bermain di program itu. Dua lagi rakan sepasukan Henny Meijer dan Stany Menzo pula terselamat kerana mereka mengambil penerbangan awal dengan mengingkari arahan Ajax.

Keduanya, adalah pengalaman buruk yang dialami pemain itu sendiri, lima tahun selepas kejadian malang itu. Dia bukan sahaja memegang tangan orang yang tidak dikenali gara-gara rasa gementar, tetapi perasaan itu turut membuatkan badannya bergetar dan berpeluh sepanjang penerbangan.

Keadaan diburukkan pula ketika dia dan pasukan Belanda perlu mengharungi perjalanan jauh menerusi penerbangan ke Amerika Syarikat, untuk beraksi di Piala Dunia 1994.

Advertisements

Kapal terbang yang mereka naiki mengalami masalah enjin, meskipun ia berjaya ditangani namun tercetus satu lagi situasi panik apabila seorang wartawan membuat lawak tak kena tempat dengan mengatakan ada bom di dalam beg yang dibawanya, sekaligus menambahkan lagi trauma mental Bergkamp.

Bergkamp bimbang ini akan menganggu prestasinya di Piala Dunia, tetapi dia cemerlang apabila menamatkan pertandingan sebagai penjaring terbanyak Belanda.

Dia berjaya mengatasi trauma sehinggalah berlaku perkara yang membuatkan dia akhirnya betul-betul tidak lagi mahu terbang, iaitu setelah bersama Inter Milan.

“Ketika menuju ke Fiorentina, ia adalah kapal terbang kecil yang masuk ke dalam gumpalan awan dan bergoncang sepanjang masa, tiada apa yang boleh dilihat di luar hanyalah warna putih atau kelabu. Sempit dan langsung tiada ruang, ianya membuatkan saya claustrophobic.

“Di dalam pesawat tiada apa yang boleh dilakukan, tiada langsung ruang untuk bergerak melainkan duduk setempat bergoncang sepanjang perjalanan, ia membuatkan saya rasa sangat teruk dan mula timbul rasa tidak senang, sehingga saya akhirnya memutuskan tidak lagi mahu terbang selepas ini.

“Ia menjadi sangat teruk sehinggakan saya akan tengok ke langit ketika perlawanan tempat lawan untuk melihat bagaimana keadaan cuaca, adakah akan ada awan, perjalanan untuk bermain bola menjadi satu pengalaman buruk yang mengerikan.

“Saya pernah merasai semua pengalaman, baik dengan menaiki pesawat besar, kecil atau sangat kecil. Di Ajax, saya pernah terbang dengan pesawat kecil di atas Gunung Etna dekat Napoli dan ketika masuk ke sebuah kantong udara, segalanya menjadi mengerikan,” ujarnya.

Bergkamp memberitahu bahawa ketika menyertai Arsenal dia berterus terang mengenai fobianya ini dan mereka memahaminya, tetapi ia menyebabkan dia mengalami kerugian £100,000.

“Katakan gaji saya satu juta, secara automatik mereka tolak £100,000 kerana saya tidak ikut terbang, itu perjanjiannya dan saya bersetuju, saya alami masalah ini dan saya terpaksa hidup dengannya.

“Saya tidak boleh lakukan apa-apa mengenainya, saya cuba dapatkan bantuan psikiatrik, saya membeku dan menjadi panik, ia kekalahan terbesar karier saya,” kata Bergkamp.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram