Menjelang aksi tumpuan Liga Super di antara Sabah FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) esok, dikhabarkan penyerang berbisa JDT, Bergson da Silva tidak dapat diturunkan kerana mengalami kecederaan.
Kelibat Bergson juga tidak kelihatan dalam sesi latihan JDT sejak beberapa hari lepas dan ada satu foto yang memperlihatkan Bergson hanya menjalani latihan ringan bersama jurulatih.

Jika dinilai dari sesi latihan yang dijalankan JDT, terdapat tiga orang penyerang yang dijangka akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan Bergson. Penyerang tersebut hampir pasti akan digandingkan bersama Fernando Forestieri untuk merobek gawang Sabah.
Fernando Rodriguez
Pemain import dari Sepanyol ini dilihat turun berlatih bersama skuad utama JDT selepas Bergson mengalami kecederaan. Walaupun kerap diturunkan bersama JDT II di Liga Premier, bisa beliau pasti ditagih untuk meledak dalam perlawanan esok.
Untuk saingan Liga Premier musim ini, Rodriguez sudah menjaringkan 8 gol dan jika dinilai melalui gol yang beliau jaringkan, sudah pasti tempat Bergson hampir pasti diisi beliau.

Syafiq Ahmad
Pemain ini juga dibawa ke Sabah untuk pertemuan tumpuan menentang Sabah FC esok. Syafiq merupakan pemain yang baru kembali dari pasukan Kedah Darul Aman FC selepas beliau melalui proses pinjaman selama setengah musim.
Sehingga kini beliau sudah beraksi dalam 11 perlawanan Liga Super dan berjaya meledak dua gol. Kecemerlangan beliau bersama skuad kebangsaan juga menguatkan lagi peluang beliau untuk diturunkan esok menggantikan Bergson.

Ahmad Hazwan Bakri
Sudah lama kita tidak mendengar nama ini dan jarang sekali kita melihat aksi beliau bersama JDT. Hazwan turut dibawa ke Sabah dan berkemungkinan besar beliau akan menjadi ‘backup’ kepada penyerang yang dipilih pada hari esok.
Beliau sudah diturunkan dua kali bersama pasukan JDT dan kedua-dua penampilan tersebut adalah di saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) menentang Kawasaki Frontale.
