Ayam tambatan Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson Da Silva kini memimpin carta penjaring terbanyak bagi saingan Liga Super 2024-2025.
Bergson tampil cemerlang dengan meledak dua gol di setiap babak bagi membantu Harimau Selatan meraih kemenangan 3-0 ke atas pencabar, Selangor di Stadium MBPJ pada Ahad.
Dua jaringan pada minit ke-43 dan sepakan penalti di minit ke-54 meletakkan penyerang kelahiran Brazil itu di tangga pertama penjaring terbanyak Liga Super ketika ini dengan 16 gol.
Mengikuti rapat Bergson adalah kapten KL City, Paulo Josue dengan 10 gol di tempat kedua sementara Ronnie Fernandez dari Selangor FC berada di kedudukan ketiga dengan 8 gol.
Menurut Bergson, kejayaan pasukan adalah fokus utama bagi musim ini berbanding menjaringkan gol dan beliau ternyata gembira dengan kemenangan yang diraih oleh JDT di Kelana Jaya.
”Sangat gembira dan bangga dengan kemenangan ini dan persembahan kami malam ini (Ahad),” ujar Bergson kepada MFL.
”Sasaran saya untuk meledak jaringan adalah perkara kedua bagi saya musim ini, kerana apa yang lagi penting adalah kemenangan yang diraih oleh pasukan,” tambah Bergson.
Bergson dan JDT akan meneruskan saingan Liga Super pada Jumaat dengan bertandang ke Paroi untuk bertemu Negeri Sembilan sebelum menerima kunjungan Ulsan HD di laman sendiri.