Berita Pearly Tan dan M. Thinaah bakal meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kini telah tersebar ke Indonesia.
Sebelum ini, timbul khabar angin beregu wanita nombor lima dunia itu telah mengadakan perbincangan dengan penaja luar dan mungkin bergelar pemain profesional.
Lantaran itu, Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh memaklumkan kontrak Pearly-Thinaah bersama BAM sudah tamat pada Januari lalu. Mereka kini mengadakan perbincangan kontrak baru dengan badan induk itu.
Apabila diminta mengulas perkara berkenaan, Kenny mengesahkan perbincangan kontrak baru sedang berjalan.
Beliau turut menyatakan beliau enggan membuat spekulasi sama ada Pearly-Thinaah bakal meninggalkan BAM atau tidak.
“Saya lebih suka tidak membuat sebarang spekulasi. Bagi saya, mereka masih di BAM dan saya tak tahu sama ada mereka akan keluar atau tidak.
“Kedua, mereka masih berlatih di BAM dan apa yang saya perhati ialah mereka masih gigih berlatih. Komitmen mereka masih kuat, itu yang penting bagi saya,” katanya seperti dilaporkan wartawan Astro Arena, Zaki Zainal.
Berita ini kemudiannya tersebar ke Indonesia menerusi berita yang dikongsikan Badminton News Flash.
“Pearly Tan/Muralithan Thinnah dikabarkan akan meninggalkan pelatnas BAM karena suatu masalah. Pihak BAM lagi berdiskusi dengan mereka,” kata portal berkenaan.
Berita ini dilihat tidak menjejaskan persiapan Pearly-Thinaah yang bakal bersaing dalam saingan Badminton Asia Championship (BAC) di Ningbo, China yang bermula pada 8 April ini.