Advertisement
Berlari Ke Padang & Peluk Pemain India, Pemuda Ini Mahu Palestin Dibebaskan
UltraSukan
UltraSukan
Farid Khan

Final Piala Dunia Kriket ICC 2023 membabitkan India dan Australia riuh disebabkan tindakan seorang penonton yang menyokong Palestin masuk ke dalam padang.

Penonton yang berasal dari Australia itu masuk ke padang semasa perlawanan berlangsung dan memeluk bintang kriket India, Virat Kohli sebelum ditahan pihak berkuasa.

Lelaki itu berbuat demikian sebagai tanda sokongan kepada Palestin dan pada masa sama, ingin bertemu dengan Kohli.

“Nama saya John, saya dari Australia. Saya masuk ke padang untuk bertemu Virat Kohli. Saya sokong Palestin,” katanya seperti dilaporkan NDTV.

Keberanian penonton tersebut mendapat pujian ramai di media sosial memandangkan India merupakan antara penyokong tegar rejim Israel sejak kebelakangan ini.

Sejak konflik Israel-Palestin kembali tercetus pada 7 Oktober lalu, lebih 13,000 orang awam dilaporkan terbunuh.

Aksi akhir Piala Dunia Kriket ICC 2023 menyaksikan Australia muncul juara dengan India terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib juara.