Kelab Thai League 1, BG Pathum United bakal berentap dengan naib juara Liga Juara-Juara UEFA (UCL) musim 2023/24, Borussia Dortmund pada bulan hadapan.
Ini kerana kelab gergasi Bundesliga itu telah mengumumkan program jelajah pra-musim mereka di Asia yang bermula pada Julai ini.
Der BVB bakal membuka jelajah mereka dengan turun menentang The Rabbits di Stadium BG pada 21 Julai ini. Ini disusuli dengan aksi persahabatan dengan kelab J1 League, Cerezo Osaka pada 24 Julai.
Jelajah pra-musim ini diadakan bagi meraikan ulang tahun ke-114 penubuhan Dortmund. Dan bagi pengarah urusan pasukan, Carsten Cramer, dua lokasi ini dilihat lokasi tepat untuk meneruskan tradisi pra-musim kelab itu di luar negara.
“Kami gembira untuk meneruskan tradisi perjalanan kita ke luar negara untuk musim panas 2024. Kami sedar kami mempunyai ramai peminat di Asia, jadi kami gembira untuk berada di sini lagi kali ini.
“Dan dengan Bangkok dan Osaka, kami telah menemui dua lokasi istimewa di mana kami tak pernah bertandang sebagai tetamu,” katanya dalam satu kenyataan di laman sesawang rasmi Dortmund.
Perlawanan ini bukan saja memberi peluang kepada BG Pathum untuk memperkenalkan seksyen tempat duduk penyokong E yang baru.
Malah, ini peluang buat penyokong The Rabbits melihat beberapa pemain baru yang menyertai kelab untuk musim 2024/25.
Antara pemain yang sah menyertai pasukan itu ialah Marco Ballini, Melvyn Lorenzen, Airfan Doloh, Raniel, Lars Veldwijk, Notsuda Gakuto dan Christian Gomis.