BG Pathum United terus membina pasukan mantap untuk kempen 2024/25 dengan membawa masuk penyerang muda Singapura, Ilhan Fandi.
Perpindahan penyerang berusia 21 tahun itu diumumkan pengurusan The Rabbits di platform rasmi mereka. Ilhan akan kembali bergandingan dengan abangnya yang juga penyerang, Ikhsan Fandi.
“BG Pathum United dengan sukacitanya mengumumkan secara rasmi perpindahan Ilhan Fandi Ahmad, 21, tatkala The Rabbits terus memperkuatkan skuad sebagai persiapan untuk musim 2024/25 yang akan datang,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Ilhan sebelum ini beraksi untuk pasukan divisyen dua Belgium, KMSK Deinze selama 18 bulan. Walau bagaimanapun, kesukarannya mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama mendorong beliau meninggalkan pasukan itu sebagai ejen bebas pada 1 Julai lalu.
Ilhan mengikut jejak bintang utama Indonesia, Marselino Ferdinan yang turut meninggalkan Deinze pada hari sama.
Ilhan dilihat bakal mengisi kekosongan yang ditinggalkan penyerang veteran BG Pathum, Chananan Pombuppha. Ini kerana Chananan terpaksa berehat lama akibat kecederaan.
Think Curve melaporkan bekas penyerang Bangkok United itu mengalami kecederaan bahu semasa diturunkan sebagai pemain gantian ketika menentang Kitchee. Kecederaan itu memerlukan Chananan berehat sekurang-kurangnya tiga bulan.
Atas sebab itu, kehadiran Ilhan dijangka menambah lebih banyak pilihan di bahagian serangan buat jurulatih Jepun, Makoto Teguramori.
Selain Ikhsan, bekas penyerang Albirex Niigata itu perlu bersaing dengan Chananan, Raniel, Teerasil Dangda, Lars Veldwijk, Nattawut Suksum dan Igor Sergeev untuk merebut slot bahagian serangan.