BG Tampines Rovers ‘Bantai’ Lion City Sailors 13-1
Asia Tenggara
BG Tampines Rovers
Advertisements

Kelab Singapore Premier League (SPL), BG Tampines Rovers membuat kejutan dengan membelasah juara SPL edisi 2022, Lion City Sailors 13-1 semalam.

Perlawanan tersebut merupakan sebahagian daripada Kejohanan Pra-Musim Interim SPL bagi mempromosikan musim baru liga berkenaan yang bermula pada Mei ini.

Dengan skuad senior The Sailors berada di Thailand kerana menjalani persiapan pra-musim, LCS menurunkan skuad Bawah 21 Tahun (B-21) yang dibimbing jurulatih Sepanyol, Jose Mataix.

Advertisements

Sebaik perlawanan bermula, The Stags membuka tirai jaringan seawal minit pertama menerusi Glenn Kweh. Lima minit kemudian, Seia Kunori menambah kelebihan Rovers.

Belum sempat anak buah Mataix kembali mengatur langkah, Kweh sekali lagi mencipta nama sebagai penjaring pada minit kelapan.

Penyerang Montenegro, Boris Kopitovic memastikan The Stags selesa mendahului 7-0 sehingga rehat menerusi gol pada minit ke-16, ke-18, 31 dan 46.

Advertisements

Bersambung pada babak kedua, gawang barisan muda The Sailors bocor lagi menerusi Shah Shahiran pada minit ke-51. Kunori kemudiannya menambah gol kesembilan pada minit ke-57.

Penyerang import Thailand, Thitipat Ekarunpong mencipta gol pada minit ke-72. Ini disusuli gol yang dijaringkan oleh Caelan Cheong pada minit ke-76.

Tiga minit selepas itu, Thitipat menyumbat gol ke-12 The Stags pada minit ke-79. Pemain sayap Taufiq Suparno melengkapkan malam gemilang pasukan itu dengan gol ke-13 pada minit ke-88.

Advertisements

Gol saguhati LCS disumbang oleh penyerang berusia 18 tahun, Kian Ghadessy. Keputusan 13-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Kemenangan besar ini dijangka merangsang semangat anak buah Gavin Lee untuk tampil cemerlang dalam SPL yang bermula pada bulan hadapan.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram