Bhutan mencipta kejutan dengan mengalahkan pasukan dari Asia Timur, Hong Kong dalam aksi timbal balik pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.
Dari segi ranking FIFA, kelebihan memihak kepada Hong Kong sebagai pasukan ke-148 berbanding Bhutan (kedudukan ke-184).
Dengan keputusan agregat 4-0, semua kelebihan tampak milik Hong Kong biarpun beraksi di gelanggang lawan.
Bagaimanapun, Hong Kong dikejutkan dengan gol pertama tuan rumah pada minit ke-28 menerusi Chencho Gyeltshen. Keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, anak-anak buah Jorn Andersen cuba bangkit mencari gol penyamaan.
Malangnya, gol yang dicari tidak kunjung tiba. Sebaliknya, Bhutan yang dibimbing jurulatih Brazil, Osvaldo Lessa menambah gol kedua menerusi Lobzang Chogyel pada minit ke-47.
Hong Kong terus memburu gol tetapi pada akhirnya, keputusan 2-0 kekal memihak kepada tuan rumah.
Biarpun tewas, Hong Kong tetap mara ke pusingan kedua kelayakan dengan kemenangan agregat 4-2.
Bagi Bhutan pula, mereka dapat mendaki ranking FIFA dari kedudukan ke-184 kepada 182 menurut data Footy Rankings selepas mengutip +16.32 mata.
Sementara Hong Kong pula terpaksa menelan kepahitan apabila turun ke ranking ke-150 selepas kehilangan -16.32 mata.