Pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC hari ini telah memperkenalkan penaja utama iaitu Bin Zayed International di majlis pelancaran jersi & lagu KDA FC serta pengumuman penaja utama dan dermasiswa KDA FC.
Majlis yang telah dirasmikan oleh pemilik KDA FC iaitu Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar dan juga Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi itu telah mengumumkan bahawa syarikat Bin Zayed International kini secara sah menjalinkan kerjasama bersama pasukan Kedah untuk musim 2023.
Bin Zayed International LLC merupakan sebuah syarikat yang berpangkalan di bumi Dubai. Syarikat ini pada tahun lalu melalui kerjasama bersama Widad Business Group telah melabur dalam projek ‘The Langkasuka’ yang bernilai 40 Billion di Langkawi.
Melalui usaha samanya dengan Widad Business Group Sdn Bhd, mereka menyasarkan untuk membawa masuk pelaburan langsung asing (FDI) bernilai RM100 bilion ke Malaysia dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Kerjasama antara Bin Zayed dan Kedah Darul Aman ini juga boleh dilihat sebagai satu kepada kerjasama baik antara kerajaan negeri. Ini kerana syarikat Dubai ini bergiat aktif dalam pembangunan projek-projek serta pelabarun di negeri Kedah. Sebagai pulangan, Kedah Darul Aman memaparkan Bin Zayed International di bahagian hadapan jersi sebagai penaja utama pasukan.
Pemilik syarikat Bin Zayed ini merupakan salah seorang daripada kerabat diraja UAE iaitu Syeikh Khaled Zayed. Syeikh Khaled ini mempunyai pertalian darah iaitu sepupu kepada pemilik kelab gergasi Liga Perdana Inggeris, Manchester City.
Sebelum ini, pemilik KDA FC, Dr Daud Bakar memaklumkan bahawa beliau ke Dubai untuk bertemu dengan penaja disana. Kini perjanjian tersebut termeterai dan syarikat dari negara UAE ini bersetuju untuk menjadi penaja utama skuad Sang Kenari.
Pengaruh serta hubungan baik Dr. Daud Bakar dengan individu berpengaruh di Timur Tengah sedikit sebanyak telah memberi kelebihan kepada pasukan. Beliau berjaya menarik minat para pelabur serta menyakinkan para penaja untuk menaja pasukan.
Tahun ini Kedah dilihat benar-benar serius untuk meletakkan pasukan berada dalam kedudukan terbaik dalam saingan liga. Skuad kendalian Nafuzi Zain ini juga menyimpan hasrat dan menghidu peluang untuk ke pentas Asia.