Setiap manusia yang pasti tidak lari dari melakukan kesilapan dan begitu juga dengan bintang baharu pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Takahiro Kunimoto atau lebih dikenali dengan panggilan Kuni.
Sebelum Kuni membuat keputusan untuk ke JDT, pemain dari Jepun itu pernah melalui satu detik hitam dalam karier bola sepak profesional beliau. Perkara tersebut berlaku sekitar bulan Mei tahun lalu.
Kuni telah ditahan oleh pihak polis selepas dikatakan memandu kereta dalam keadaan mabuk. Ianya selepas pihak polis menerima aduan daripada orang ramai yang lalu lalang di kawasan itu.
Oleh kerana kesalahan itu, Kuni telah dihukum dengan berat oleh pengelola Liga Korea (K League). Hukuman yang dikenakan terhadap Kuni ialah tidak boleh melibatkan diri daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak selama 60 hari.
Susulan daripada hukuman tersebut, pihak kelab bertindak menamatkan kontrak Kuni lebih awal iaitu pada Julai 2022 walaupun kontrak Kuni masih berbaki sehingga Disember 2022.
Menerusi satu ciapan di laman X,Fighting Stripes Football, Kuni ditamatkan kontrak lebih awal kerana kesalahan yang dilakukan itu mencalarkan imej Hyundai Motor selaku pemilik kelab.
Kuni menerima keputusan tersebut dengan hati terbuka dan telah memohon maaf atas kesilapan yang dilakukan itu. Beliau seterusnya berhijrah ke Portugal bagi menyertai Casa Pia sebelum menyertai JDT beberapa hari lalu.