Advertisements
Bintang Baharu Palestin Dulunya Beraksi Buat Israel
Asia
MakanBola
Ataa Jaber

Nama pemain tengah Palestin, Ataa Jaber bakal menjadi tumpuan semasa Pestabola Merdeka kerana beliau dahulu pernah beraksi untuk pasukan kebangsaan Israel.

Laluannya menyertai skuad kebangsaan Palestin bermula apabila beliau menyertai akademi Maccabi Haifa pada usia enam tahun. 12 tahun selepas itu, Jaber diberi peluang membuat debut bersama pasukan utama kelab Israel itu.

Namanya mula menjadi sebutan tiga tahun kemudian apabila beliau mewakili skuad B-21 Israel. Ini termasuk menjadi kapten untuk pasukan itu sebanyak empat kali.

Bagi warga Israel, ini sesuatu yang luar biasa lebih-lebih lagi pada masa sama, Bibras Natcho dilantik sebagai kapten skuad senior mereka. Natcho ialah pemain Israel berdarah Circassian.

Namun begitu, semuanya berubah pada 2020 terima kasih kepada perpindahan rakan sepasukan, Rami Hamadi ke Bnei Sakhnin FC.

Hamadi terpaksa meninggalkan Liga Perdana Tebing Barat (WBPL) pada tahun itu susulan pandemik Covid-19 memberi kesan kepada kewangan kelab yang diwakilinya ketika itu.

Selain itu, kontroversi pengusiran penduduk Palestin dari kawasan kejiranan Sheikh Jarrah sekitar tahun sama turut menyedarkan Jaber untuk mewakili negara itu di pentas antarabangsa.

“(Di Israel), mereka sentiasa beri naratif kepada pemain-pemain (Arab) bahawa sukan tidak sepatutnya dicampur dengan politik, anda mewakili komuniti, anda ada suara dan anda tak perlu menyanyikan lagi kebangsaan (Israel).

“Selepas apa yang berlaku di Sheikh Jarrah, saya sedar amat sukar untuk memisahkan politik daripada sukan dan jika saya mahu mewakili ‘48 Arabs, ada cara lebih baik untuk melakukannya.

“Perubahan berlaku kepada saya apabila saya bertemu Rami Hamadi semasa bermain untuk Sakhnin. Saya kemudian dapat tahu ada liga di Tebing Barat dan kita boleh mewakili Palestin.

“Saya tak tahu tentang kemungkinan tersebut kerana saya tidak mempunyai pasport,” katanya kepada Arab News.

Begitupun, Jaber perlu menunggu selama dua tahun sementara Pihak Berkuasa Palestin (PA) memproses pasport beliau. Penantian tersebut berbaloi kerana beliau kemudiannya dipanggil mewakili Palestin sekitar Jun lalu.

Bagi Jaber, penyertaannya bukan sekadar merealisasikan hasratnya mewakili Palestin dalam sukan bola sepak. Malah, ia memberi mesej kepada pemain-pemain Palestin lain yang beraksi di liga Israel agar berani mewakili tanah air mereka.

Walaupun mengakui pilihan ini boleh menyebabkan mereka kehilangan sumber pendapatan, selagi mana mereka mahu mewakili Singa Kanaan, maka laluan sebagai pemain kebangsaan Palestin jadi lebih mudah.

“Saya memutuskan untuk mewakili Palestin atas banyak sebab. Pertama, sebab saya orang Palestin, kedua, sebab saya ada kebolehan dan ketiga, untuk hantar mesej kepada pemain-pemain dalam Garisan Hijau bahawa pilihan ini ada untuk mereka.

“Memang ada kebimbangan dalam kalanagn pemain Palestin dalam Garisan Hijau bahawa keputusan sebegitu boleh menjejaskan sumber pendapatan mereka terutama dengan fakta bahawa mereka tidak boleh beraksi di luar negara seperti saya.

“Memang ada kekurangan tetapi jika seseorang itu sudah berazam bermain untuk Palestin, laluannya akan menjadi mudah,” tambahnya.

Jaber kini beraksi untuk Neftchi Baku di Azerbaijan. Beliau sudah merekodkan dua penampilan untuk Singa Kanaan.

Related Articles