Seorang bintang muda Burnley berharap dapat mewakili skuad kebangsaan Vietnam pada masa hadapan.
ASEAN Football melaporkan hasrat itu dizahirkan pemain tengah berdarah Ireland-Vietnam, Brandon Ly.
Ly ketika ini beraksi untuk skuad Burnley Bawah 21 Tahun (B-21). The Clarets muncul naib juara Liga Kejohanan sekaligus layak ke Liga Perdana Inggeris (EPL) musim hadapan.
Seandainya Ly diturunkan dalam aksi EPL musim hadapan oleh pengurus, Scott Parker, beliau berpeluang menjadi pemain berdarah Vietnam pertama beraksi di liga itu.
Ly bukan saja boleh beraksi sebagai pemain tengah atau pemain tengah bertahan. Malah, beliau juga boleh beraksi di bek kanan.
Sebelum menyertai Burnley, Ly pernah beraksi untuk skuad remaja satu lagi kelab Liga Kejohanan, Sheffield United.
Sekiranya impian beliau direalisasikan, Vietnam bakal memiliki seorang lagi pemain kacukan untuk menambah kekuatan baik untuk skuad senior mahupun skuad Bawah 23 Tahun (B-23).
Sebelum ini, pemain Cong An Ha Noi FC (CAHN FC), Jason Pendant Quang Vinh sudah melengkapkan proses untuk menjadi pemain kacukan terbaru mewakili Vietnam.