Seorang pemenang Piala Dunia dari Argentina berdepan ugutan bunuh selepas menerima surat layang misteri.
Wartawan Argentina, Belen Corvalan mendedahkan sekumpulan penembak bertindak menembak sebuah stesen minyak di Rosario, Argentina sebelum meninggalkan nota ancaman bunuh kepada Angel Di Maria.
Nota tersebut berbunyi, “Kami akan menunggu anda, Di Maria.” Insiden ini mengejutkan ramai peminat bola sepak apabila video dan gambar nota berkenaan dimuatnaik di media sosial.
Pengguna X, Omar Gabriel Elvir Lopez percaya perkara ini berlaku kerana ketegasan bekas pemain sayap Manchester United itu menentang aktiviti pengedaran dadah di Rosario.
“Nampaknya, semua ini berpunca dari keraguan pemain bola sepak itu untuk pulang atau tidak setelah meninggalkan Benfica pada musim panas ini.
“Penjenayah menentang perkara ini kerana Di Maria mengecam secara terbuka masalah pengedaran dadah yang berlaku di bandarnya,” katanya di X.
Ini bukan kali pertama Di Maria menerima ugutan bunuh di tanah airnya itu. Pada Mac lepas, akhbar Marca melaporkan satu ugutan bunuh yang ditujukan kepada bapanya ditinggalkan di luar kediaman mereka di Rosario.
Ugutan ini dibuat selepas Di Maria melahirkan hasrat untuk kembali ke Argentina dan menamatkan kariernya bersama Rosario Central.
“Beritahu anak anda Angel untuk tidak kembali ke Rosario kerana jika tidak, kami akan membunuh seorang saudara anda.
“Bahkan (gabenor wilayah, Maximiliano) Pullaro tidak akan menyelamatkan anda. Kami tidak membuang kertas. Kami membuang plumbum dan orang mati,” mesej yang ditinggalkan kepada bapa Di Maria mengikut sumber polis.
Di Maria ketika ini sedang menimbang tawaran beberapa kelab selepas meninggalkan Benfica pada akhir musim 2023/24.
Selain ingin menamatkan karier bersama Rosario Central, legenda Real Madrid itu turut dikaitkan dengan perpindahan ke kelab Major League Soccer (MLS), Inter Miami.