Bintang Portugal dan Argentina kini perlu melepasi kawalan pertahanan kental Harimau Malaya, Dominic Tan.
Tonggak berusia 28 tahun itu bakal menjadi sandaran utama skuad bintang Asia Tenggara bagi pertembungan antara ASEAN All-Stars vs Manchester United, 28 Mei ini.
Aksi ayam tambatan The Rhinos itu sudah pasti menjadi sandaran pengendali ASEAN All-Stars, Kim Sang-sik yang diberikan peranan untuk menggalas tugas bagi membimbing skuad kali ini.
Dominic telah diturunkan hampir 30 perlawanan bagi musim 2024/25 dalam semua kejohanan dan hampir sebahagian besar aksinya adalah dalam kesebelasan utama.
Beliau juga diturunkan dalam tiga aksi ASEAN Championship 2024 pada peringkat kumpulan menentang Kemboja, Timor Leste dan juga Singapura.
Hal ini menyaksikan nama-nama besar Manchester United seperti kapten, Bruno Fernandes, Diogo Dalot (Portugal) dan tonggak Argentina, Alejandro Garnacho bakal berdepan Dominic Tan.
Reputasi bekas pemain JDT ini sudah terbukti di Asia selepas pernah bertemu nama besar dunia seperti Hwang Hee-chan, Lee Kang-in dan kapten Korea Selatan, Son Heung-min di Piala Asia 2023.
Kehadiran pertahanan tinggi lampai ini berpotensi untuk digandingkan dengan pemain Kemboja, Kan Mo selain beberapa calon lain seperti Muhammad Ferrari dari Indonesia.
Dua lagi pemain Harimau Malaya yang mendapat tempat dalam skuad ASEAN All-Stars kali ini adalah penjaga gol, Haziq Nadzli dan juga Sergio Aguero menurut laporan wartawan MakanBola, Syafiq Freman.
Antara nama besar lain yang turut menyerikan panggilan kali ini ialah Peeradol Chamrasamee (Thailand), Asnawi Mangkualam (Indonesia), Nguyen Quang Hai (Vietnam) dan juga Joao Pedro (Timor Leste).
Aksi antara dua pasukan ini dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 28 Mei ini dengan tiket difahamkan sudah mencecah 50,000 jualan.