”Terima kasih Johor Darul Ta’zim (JDT), jumpa lagi nanti”
Demikianlah ucapan terakhir tonggak tengah JDT, Ruo Han apabila memuat naik salam perpisahan kepada pasukan itu selepas 7 tahun bersama skuad Harimau Selatan tersebut.
Ruo Han, 24 tahun dalam satu hantaran di laman Instagram mengucapkan selamat tinggal dan terima kasih buat Pemilik Kelab, DYAM Tunku Mahkota Ismail di atas jasa baik menjaga beliau selama ini.
“Selepas 7 tahun yang penuh kenangan, tiba masanya untuk mengucapkan selamat tinggal. Terima kasih kepada Pemilik Kelab, DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor,” tulis Ruo Han.
“Sepanjang detik suka, duka, dan juga kecederaan, kelab ini selalu menjaga saya dengan sangat baik. Terima kasih JDT, dan semoga kita berjumpa lagi,” tambah pemain itu lagi.
Untuk rekod, Ruo Han yang berasal dari Kulim, Kedah sertai akademi JDT pada tahun 2018 ketika berusia 17 tahun yang juga juara program pencarian bakat, Mencari Ramli musim ke-6.
Ruo Han dilihat banyak beraksi untuk pasukan feeder, JDT II bermula tahun 2021 namun beliau pernah berada di dalam senarai skuad utama ke AFC Champions League pada tahun 2021.