Pemain pertahanan tengah import Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Bojan Ciger mungkin boleh dinamakan sebagai pemain import Liga Super 2023 yang paling cergas setakat ini.
Ini kerana, sehingga kini, beliau masih belum terlepas daripada diturunkan dalam perlawanan melibatkan skuad Sang Kenari itu sama ada di Liga Super, Piala Malaysia, Piala FA dan Piala Cabaran MFL.
Musim 2023 ini, Bojan telah terlibat dalam 26 perlawanan melibatkan pasukan Kedah. 22 perlawanan untuk Liga Super, dua untuk Piala Malaysia, satu untuk Piala FA dan satu lagi aksinya adalah untuk Piala Cabaran MFL.
Lebih menarik lagi, walaupun beliau beraksi di pertahanan tengah yang umum mengetahui cenderung kepada melakukan kekasaran, namun Bojan membuktikan beliau sangat berdisiplin apabila hanya dilayangkan satu kad kuning sahaja daripada 26 perlawanan yang dilaluinya.
Hadir ke Kedah pada awal musim 2023, kelibat Bojan sentiasa dinanti-nantikan oleh penyokong Kedah bagi mempertahankan benteng pasukan daripada dibolosi. Kini, Bojan mempunyai misi yang tersendiri iaitu berjuang bersama pemain-pemain Kedah yang lain untuk merebut slot ke Piala AFC musim hadapan.
Kedah kini berada di tangga ketiga Liga Super dan berada di landasan terbaik untuk sekurang-kurangnya berada di tangga kedua yang kini dihuni Selangor FC. Biarpun Kedah ketinggalan 5 mata kepada Selangor, namun peluang masih terbuka lebih-lebih lagi mereka masih kurang satu perlawanan berbanding Selangor.