Pengendali baharu Persib Bandung, Bojan Hodak mula dengan langkah yang positif apabila berjaya menyekat kemaraan pendahulu Liga 1 Indonesia, Bali United.
Dalam perlawanan semalam, Persib Bandung dan Bali United terikat tanpa jaringan.
Bali United turun dengan rekod tanpa kalah tiga perlawanan berturut-turut sementara Persib Bandung baru sahaja memperoleh kemenangan pertama dalam perlawanan sebelum ini.
Menurut statistik perlawanan, kedua buah pasukan mempunyai penguasaan bola yang sama rata. Persib Bandung memiliki tiga percubaan tepat manakala Bali United dua percubaan tepat sahaja.
Bekas jurulatih KL City itu mengakui pasukannya memiliki peluang yang banyak untuk menjaringkan gol namun tiada penyudah yang baik.
“Kami mempunyai banyak peluang, namun tidak dapat mencari jaringan dan itu perkara yang akan terus diperbaiki kelak.
“Ini adalah satu perkara yang positif bagi perlawanan pertama saya,” kata Bojan Hodak dalam sidang media selepas tamat perlawanan.
Ini merupakan debut pertama buat Bojan Hodak dalam saingan Liga 1 Indonesia.
Kini, Persib Bandung berada di kedudukan ke-10 Liga dengan mengumpul tujuh mata hanya membezakan tiga mata dengan pendahulu Liga, Bali United.
Selepas ini, Persib Bandung akan bertemu Persis bagi perlawanan ke-7 saingan Liga 1.