Pengendali Selangor FC, Nidzam Jamil mengakui tidak gembira apabila melihat pasukannya dibolosi enam kali di pentas final Piala FA 2024.
Aksi final Piala FA 2024 pada 24 Ogos lalu menemukan juara edisi 2009, Selangor dengan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC).
Gol Arif Aiman Hanapi, Heberty Fernandes, Bergson da Silva dan hatrik Juan Muniz memastikan trofi milik JDT buat kali ketiga berturut-turut. Sementara Merah Kuning meraih gol saguhati menerusi Alvin Fortes.
Nidzam mengakui tidak gembira melihat pasukannya tewas 6-1 kepada pasukan gergasi selatan tanah air itu di pentas final.
Pada masa sama, jurulatih berusia 44 tahun itu melihat kekecewaan ini sebagai batu asas untuk bangkit mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/25.
“Secara keseluruhannya, 6-1 jujur kita tak gembira, langsung tak gembira. Tapi ini final (Piala FA), sudah tentu satu keputusan yang mengecewakan ramai pihak. Tapi kita kena lalui perkara ini dengan lebih baik,” katanya dalam sidang media pasca-perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Nidzam turut melihat keputusan ini sebagai pencetus perubahan yang perlu dilakukan Selangor selepas ini. Ini kerana Merah Kuning bakal berentap bukan saja dalam saingan Liga M tetapi juga Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).
“Saya rasa ini refleksi buat kita juga. Betapa kita kena kerja keras lagi selepas ini. Kena betulkan beberapa perkara, kena bersedia dengan lebih baik. Keputusan ini sedikit sebanyak menunjukkan macam mana kita nak bersaing (dan) nak dapatkan tempat yang lebih baik,” ujarnya.
Fokus Selangor selepas ini ialah aksi Liga Super menentang Kuching City FC pada 13 September. Ini disusuli aksi pertama Kumpulan H ACL2 antara Merah Kuning dan Muangthong United pada 19 September.