Dengan perlawanan persahabatan Indonesia-Argentina bakal berlangsung pada malam ini, Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) mahu memastikan perlawanan hari ini berjalan lancar. Justeru, tidak hairanlah mereka turut memanggil bomoh hujan ke Stadium Gelora Bung Karno hari ini.
Menurut laporan Pikiran Rakyat, Raden Roro Istiati Wulandari atau turut dikenali sebagai Rara Pawang Hijau dipanggil selepas hujan lebat membasahi kawasan sekitar stadium sejak beberapa jam lepas.
Perlawanan Tim Garuda dan Albiceleste dijangka bakal diadakan pada jam 8.30 malam ini. Justeru, bagi memastikan perlawanan berjalan lancar, Rara dikatakan sudah melakukan ritual sekitar stadium agar hujan tidak mengganggu perlawanan malam ini.
Ini bukan kali pertama khidmat Rara Pawang Hujan dipanggil untuk acara besar. Beliau juga dipanggil untuk perlumbaan Kejohanan Superbike Dunia (WSBK) yang diadakan di Mandalika pada 2022.
Ramai mengharapkan cuaca baik untuk perlawanan malam ini. Biarpun tanpa kelibat Lionel Messi, Argentina yang dibimbing Lionel Scaloni pastinya bakal memberi saingan sengit kepada anak-anak buah Shin Tae-yong itu.