Jaringan awal di babak pertama berjaya membantu Borneo FC menumbangkan Bali United dalam aksi kedua penentuan tempat ketiga bagi saingan Liga 1 Indonesia musim 2023/2024.
Pada aksi penentuan pertama tempoh hari, kedua-dua pasukan terikat seri tanpa jaringan dalam perlawanan penuh sengit yang berlangsung di Stadium Kapten I Wayan Dipta di Bali.
Kini, Borneo yang turun sebagai tuan rumah menampilkan barisan terbaik dengan kepulangan kembali penjaga gawang, Nadeo Argawinata ke dalam barisan kesebelasan utama manakala Bali United merehatkan kapten pasukan, Ilija Spasojevic.
Borneo tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan menerusi Wiljan Pluim seawal minit ketiga sebelum Felipe Casdenazzi meletakkan tuan rumah selesa di hadapan dengan kedudukan 2-0 lima minit kemudian.
Tidak cukup dengan itu, Wiljan Pluim mencetak jaringan kedua peribadi pada minit ke-22 setelah sekali lagi menerima umpanan cantik dari Fathur Rahman untuk Borneo mendahului 3-0 dalam tempoh 25 minit pertama.
Bali United tidak mengalah dan terus menggandakan asakan dan hasilnya pertahanan kebangsaan Thailand, Elias Dolah menjaringkan gol pertama buat pasukan pelawat pada minit ke-30.
Sembilan minit berselang, giliran pemain tengah, Irfan Jaya pula merapatkan kedudukan dengan gol kedua buat Bali United untuk menjadikan keputusan 3-2 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, Bali United yang dibimbing oleh Stefano Cugurra melakukan dua pertukaran dengan memasukkan Muhammad Rahmat dan Kadek Agung Widnyana bagi memberi tenaga baharu di bahagian tengah pasukan.
Walau bagaimanapun, Borneo tetap berhasil membolosi gawang Bali United yang dikawal oleh Adilson Maringa buat kali keempat sekali lagi menerusi ayam tambatan pasukan, Felipe Casdenazzi pada minit ke-70.
Aksi di Stadium Bantakan berakhir dengan kemenangan 4-2 memihak Borneo FC, sekaligus mengecewakan Bali United.
Dengan keputusan ini, Borneo FC berjaya mengesahkan kedudukan mereka sebagai pasukan ketiga terbaik Liga 1 Indonesia bagi musim 2023/2024 manakala Bali United terpaksa berpuas hati menamatkan kempen di tempat keempat.
Aksi kedua final bagi menentukan juara Liga 1 Indonesia bakal berlangsung pada Jumaat, 31 Mei di mana Persib Bandung kendalian Bojan Hodak memiliki kelebihan agregat selesa 3-0 ke atas Madura United.