Borussia Dortmund bakal untung besar jika pasukan tersebut tewas kepada Real Madrid dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pada 2 Jun ini.
Menang atau kalah, Dortmund sebenarnya tetap meraih keuntungan namun kelab tersebut akan meraih lebih banyak wang jika mereka bergelar naib juara.
Juara UCL bakal menerima wang hadiah sebanyak RM102 juta bersamaan dengan €20 juta manakala naib juara akan menerima RM75 juta bersamaan dengan €14.7 juta.
Namun terdapat klausa khas dalam pembelian Jude Bellingham ke Real Madrid pada musim panas lalu yang menyaksikan Dortmund akan meraih RM25.5 juta bersamaan dengan €5 juta sekiranya Real Madrid menjulang UCL musim ini.
Menurut laporan media Jerman, tambahan RM10.2 juta bersamaan dengan €2 juta turut akan diberikan kepada Dortmund jika Jude Bellingham berada kesebelasan terbaik UCL musim ini.
Malah Jude Bellingham juga dicanang akan berada dalam kesebelasan terbaik UCL setelah cemerlang menjaringkan 4 gol dan mencetak 4 bantuan jaringan dalam saingan UCL bersama Real Madrid.
Jika Real Madrid meraih gelaran UCL ke-15, Borussia Dortmund berpeluang meraih sekitar RM110.7 juta hasil wang hadiah naib juara dan juga klausa khas Jude Bellingham.
Jumlah tersebut ternyata lebih besar daripada hadiah kemenangan bergelar juara yang bernilai RM102 juta.
Namun para penyokong setia Dortmund atau dikenali sebagai The Yellow Wall pastinya tidak ingin melihat pasukan tersebut tewas kepada Real Madrid setelah kali terakhir memasuki perlawanan akhir UCL pada tahun 2013 lalu.
Perlawanan akhir UCL ini juga bakal menjadi aksi terakhir pemain lagenda Dortmund, Marco Reus yang sah tidak akan menyambung kontrak beliau untuk musim hadapan.