Kejohanan Piala Dunia Bawah 17 tahun di Indonesia telah digegarkan dengan amukan dari pasukan samba, Brazil. Untuk 90 minit aksi permainan, Brazil telah memaksa lawannya bertahan sepanjang perlawanan.
Dalam perlawanan di antara Brazil menentang New Caledonia di Stadium Antarabangsa Jakarta sebentar tadi, 9 gol telah dihasilkan barisan pemain Brazil sekali gus mengakhiri aksi dengan kemenangan besar 9-0 menewaskan New Caledonia.
Namun begitu, banyak pihak yang mula terkejut dengan apa yang Brazil pamerkan pada aksi tersebut. Mengikut statistik yang dikeluarkan Sofascore, Brazil telah membuat sebanyak 81 percubaan sepanjang perlawanan dengan 23 daripadanya adalah percubaan tepat ke gawang lawan.
Selain menyerang bertali arus ke gawang New Caledonia, Brazil juga memegang penguasaan bola sebanyak 77 peratus berbanding 23 peratus buat New Caledonia.
Biarpun berjaya menang besar, namun kedudukan Brazil masih belum selamat untuk mara ke pusingan seterusnya. Ini kerana pada aksi pertama, mereka dikejutkan dengan kekalahan 2-3 kepada Iran.
Brazil kini di tangga ke-2 kumpulan dengan mengumpul 3 mata. Mata yang sama turut direkodkan oleh Iran. Untuk layak ke pusingan seterusnya, Brazil perlu menewaskan England sambol mengharapkan Iran seri atau tewas kepada New Caledonia.