Bekas kapten Selangor FC, Brendan Gan dilaporkan akan kekal bersama KL City FC untuk musim 2025/26.
Selepas menyertai pasukan Lembah Klang itu pada awal musim 2024/25, Brendan menjadi tonggak utama KL City di bahagian tengah.
Ini terbukti apabila beliau merekodkan 23 penampilan, empat gol dan empat bantuan gol dalam semua kejohanan termasuk Shopee Cup.
Kini, wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi memaklumkan Brendan dilaporkan sudah mencapai persetujuan lisan dengan KL City untuk kekal bersama pasukan itu.
“Menerusi perbualan saya dengan Presiden KLFA, Syed Yazid Syed Omar baru-baru ini, proses rundingan dengan Brendan Gan sedang berjalan,” katanya kepada Nadi Arena.
“Dan saya difahamkan berdasarkan persetujuan lisan, Brendan Gan setuju untuk kekal bersama KL City. Namun beliau belum menandatangani dokumen lanjutan (kontrak), belum ada hitam putih dengan KL City.
“Tapi persetujuan lisan untuk Brendan Gan dan KL City menyambung kontrak itu ada.”
Sebelum ini, beberapa tonggak KL City turut menyatakan kesediaan untuk kekal bersama pasukan itu. Antara yang berbuat demikian ialah Paulo Josue dan Giancarlo Gallifuoco.