Advertisements
Brunei Asah Taji Dengan Pasukan Ke-34 Dunia
Asia Tenggara
MakanBola
Team Russia/FA Brunei Darussalam

Nama Brunei menjadi sebutan peminat bola sepak Asia Tenggara apabila menerima jemputan Russia untuk aksi persahabatan antarabangsa.

Hebahan aksi ini dikongsikan di platform media sosial rasmi pasukan bola sepak Russia, Team Russia baru-baru ini.

“Krasnodar, temui pasukan kebangsaan (anda)! Kita akan menentang Brunei di sini. Perlawanan pertama untuk kem latihan November akan berlangsung pada 15 November (awal pagi 16 November) pada pukul 7.00 malam waktu Moscow (12.00 pagi waktu Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Pengumuman ini menjadikan Brunei sebagai pasukan Asia Tenggara kedua yang berpeluang menguji anak buah Valery Karpin itu.

Sebelum ini, Russia tiba di Vietnam pada September lalu untuk dua aksi persahabatan antarabangsa dengan tuan rumah, Vietnam dan Thailand.

Sbornaya hanya berpeluang menentang Vietnam pada 5 September. Ini kerana aksi mereka dengan Thailand pada 10 September terpaksa dibatalkan akibat Taufan Yagi.

Meskipun hanya sempat beraksi untuk satu perlawanan, Russia memastikan mereka pulang dengan kemenangan. Daler Kuzyayev, Tamerlan Musayev dan gol sendiri Vu Van Thanh memastikan mereka meraih kemenangan 3-0 ke atas Pahlawan Bintang Emas.

Brunei bukan satu-satunya pasukan yang bakal dihadapi Sbornaya. Mereka dilaporkan bakal berdepan wakil Asia Barat, Syria pada 19 November di Volgograd.