Skuad bola sepak kebangsaan Brunei akhirnya berjaya mendapatkan satu aksi persahabatan berkualiti apabila dijadualkan bertemu pasukan yang menghuni tangga ke-91 ranking bola sepak dunia, Curacao.
Menerusi beberapa laporan, aksi persahabatan berkualiti di antara Brunei dan Curacao dijadualkan akan berlangsung pada 22 Mac depan bertempat di Arab Saudi.
Brunei dan Curacao merupakan dua pasukan yang dijemput ke Arab Saudi untuk FIFA Series 2024. Selain Brunei dan Curacao, dua lagi pasukan turut dijemput ke Arab Saudi iaitu Vanuatu dan Guinea.
Selepas menentang Curacao pada 22 Mac, Brunei dijadualkan menentang Vanuatu yang kini menghuni tangga ke-170 dunia pada 26 Mac.
Ini adalah peluang terbaik buat Brunei yang kini berada di ranking ke-194 dunia untuk menghadapi perlawanan yang lebih berkualiti sekali gus membantu untuk meningkatkan ranking FIFA mereka.
Untuk rekod, kali terakhir Brunei memenangi perlawanan di peringkat antarabangsa adalah pada 5 November 2022 iaitu ketika menewaskan Timor Leste dengan keputusan 6-2 dalam aksi kelayakan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022.
Selepas kemenangan besar ke atas Timor Leste itu, Brunei gagal mencatatkan sebarang kemenangan sehingga ke hari ini.