Skuad kebangsaan Brunei mula mengatur persiapan bagi menghadapi Indonesia dalam aksi pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.
Menjelang aksi perlawanan tersebut pada Oktober ini, ASEAN Football melaporkan Persatuan Bola Sepak Brunei Darussalam (FABD) mengatur dua aksi persahabatan masing-masing menentang Timor Leste dan Hong Kong.
Brunei akan turun menentang Timor Leste pada 6 September sebelum disusuli perlawanan menentang Hong Kong pada 11 September.
Menariknya, dua lawan Tebuan ini juga beraksi dalam pusingan kelayakan sama pada Oktober hadapan.
The Crocodiles bakal berdepan Taiwan untuk aksi pusingan pertama kelayakan. Sekiranya berjaya menundukkan lawan mereka itu, Timor Leste akan berada dalam Kumpulan D bersama Malaysia, Kyrgyzstan dan Oman.
Manakala The Dragons pula bakal berdepan Bhutan. Begitupun, tugas anak-anak buah Jorn Andersen bakal berdepan kesukaran sekiranya berjaya melepasi Bhutan.
Ini kerana Hong Kong akan berada dalam satu lagi ‘Kumpulan Maut’ iaitu Kumpulan E. Selain mereka, Iran, Uzbekistan dan Turkmenistan turut berada dalam kumpulan sama.