Bruno Suzuki Umum Bersara
MakanBola
PDRM FC

Bekas penyerang PDRM FC, Bruno Suzuki mengumumkan persaraan beliau dari arena bola sepak.

Keputusan penyerang berusia 36 tahun itu diumumkan dalam satu hantaran di Instagram. Suzuki memilih bersara selepas berkecimpung dalam dunia bola sepak selama 17 tahun.

“Selepas 17 tahun berkecimpung dalam bola sepak profesional, saya telah memutuskan untuk bersara. Kepada keluarga saya, isteri saya, yang menyokong saya di setiap langkah, dan kepada semua orang yang telah menyokong saya dalam perjalanan ini, saya ingin mengucapkan terima kasih yang tulus ikhlas. Saya tidak dapat melakukan ini tanpa anda,” katanya.

Suzuki turut memaklumkan selepas ini, beliau memilih menabur bakti sebagai jurulatih. Bekas penyerang Penang FC itu berharap dapat membimbing akar umbi menjadi generasi pemain hebat yang seterusnya.

“Hari ini, satu bab dalam kehidupan bola sepak saya berakhir. Seterusnya, saya teruja untuk melangkah ke peranan baharu sebagai jurulatih. Saya akan memberikan segala yang saya ada untuk mengajar dan membimbing generasi akan datang,” tambahnya.

Memulakan karier bersama Albirex Niigata, kebanyakan karier Suzuki dihabiskan di Singapura, Thailand, Jepun dan Malaysia.

Selain PDRM dan Penang, beliau pernah beraksi untuk Terengganu FC, FC Gifu, Home United (kini Lion City Sailors (LCS)), Bangkok FC, Geylang International dan Negeri Sembilan FC.

Selepas hantaran itu dimuat naik, ramai rakan pemain mengucapkan selamat berjaya kepada Suzuki. Antaranya Dylan Wenzel-Halls, Stefano Brundo, Chia Ruo Han, Pedro Henrique dan Mario Arques.