Pengarah teknikal terjun negara, Bryan Nickson Lomas mengakui kontinjen terjun Malaysia tewas dari segi kualiti.
Kontinjen terjun negara menamatkan kempen Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar tanpa menambah bilangan wakil negara beraksi di Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis.
Ini termasuk kegagalan beberapa penerjun elit Malaysia seperti Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri untuk layak dalam acara-acara yang disertai mereka.
Kegagalan ini sukar diterima ramai pihak kerana Malaysia sentiasa melahirkan penerjun berbakat yang berupaya layak sehingga ke Sukan Olimpik.
Bryan mengakui keadaan ini menyebabkan wujud jurang perbezaan antara penerjun negara dengan penerjun-penerjun dari negara lain termasuk dari segi kutipan mata.
“Saya rasa dari segi kualiti kita, kualiti kita agak sukar. Sebab kalau kita tengok, ada beberapa acara yang kita terlepas. Tetapi dari segi (kutipan) mata, amatlah sedikit.
“Contohnya, acara semalam (babitkan) Dhabitah. Dia perlukan lapan mata sahaja untuk layak ke semi final atau kedudukan ke-18,” katanya kepada Nadi Arena semalam.
Ini menjadikan Bertrand Rhodict Lises sebagai satu-satunya atlet terjun negara yang layak ke Sukan Olimpik 2024.
Bertrand layak selepas menduduki tempat ke-10 acara 10 meter platform individu lelaki di Kejohanan Akuatik Dunia di Fukuoka, Jepun tahun lalu.