Kemerosotan bola sepak Malaysia bukan perkara baru, ia ibarat yo-yo, kadang kala di atas kadang kala di bawah. Namun kadang-kadang ia sudah mula menampakkan sinar, akan wujud manusia yang akan merosakkan kembali apa yang telah dibina.
Daripada kem pembangunan pemain muda yang cukup sensitif kalau dipetik namanya sehinggalah pemilihan pemain yang mewakili negara. Jika pembangunan atau apa-apa sahaja usaha mula menunjukkan hasil maka akan timbul wajah-wajah yang ingin merosakkannya.
Pemain dan jurulatih kerap dihina dan ditekan dari segala sudut apabila mereka tewas tapi saya yakin ada pihak yang perlu bertanggungjawab sepenuhnya atas apa yang berlaku dan penulisan ini bukan untuk mencari salah sesiapa kerana ia perkara yang membazir masa.
Seperti mana yang disarankan oleh kebanyakan penyokong bola sepak Malaysia, satu tindakan drastik wajar diambil. Bukan isu pemecatan, bukan isu perletakan jawatan tapi isu kerjasama dengan orang yang sudah terbukti berjaya.
Berjaya dari segala sudut pengurusan bola sepak, tegas dan tidak mampu diganggu oleh tangan-tangan manusia perosak bola sepak negara.
Seperti yang ditulis saudara Khairul Anuar Mat Noor, penyokong bola sepak Malaysia di Group Facebook JDT FANS TEAM;
“Sekali lagi saya merayu kepada kerajaan Malaysia. Tolonglah bina kerjasama dgn TMJ. Sokong dana pada TMJ. TMJ dah ada semua keperluan untuk latihan profesional.”
“Bina pasukan JDT sebagai pasukan Malaysia. Biar semua pemain dapat keserasian dari awal. Demi maruah negara tolonglah.”
“Menteri-menteri sukan ataupun pegawai-pegawai yang ada dalam FAM buanglah ego masing-masing. Belajarlah dari TMJ, pasukan JDT dah di tahap Jepun dan Korea, mereka sudah dilatih secara profesional.” Jelas Khairul Anuar.
Bukan semua apa yang ditulis Khairul Anuar wajar diimplementasikan namun ianya tetap satu pendapat yang wajar diberikan perhatian terutamanya berkaitan kerjasama.
Penyokong bola sepak hanya mahu melihat bola sepak Malaysia konsisten dan cakna dengan permasalahan yang berlaku dan melakukan tindakan segera.
Apabila tindakan sudah dilakukan dan mula membuahkan hasil, semua pihak wajar bersabar dan kenal pasti manusia yang mula ingin merosakkannya agar perkara yang sama tidak berulang.
Sekurang-kurangnya dapat melihat kembali Duli Yang Amat Mulia, Tunku Ismail Idris kembali ke pujuk pimpinan FAM buat kali ke-2 dan segera melakukan perubahan.
Boleh jadi ini satu-satunya jalan yang ada untuk memperbetulkan kerosakan yang sedang berlaku.