Budaya Penyokong Konfrontasi Pemain Usai Perlawanan: Wajarkah?
Blog
Advertisements

Baru-baru ini tular cuplikan video sekumpulan penyokong pasukan Sri Pahang FC yang berkonfrontasi dengan pemain pasukan tersebut sejurus tamat perlawanan Sri Pahang FC menentang NSFC di Stadium Paroi.

Kumpulan penyokong tersebut melempiaskan kekecewaan mereka terhadap prestasi semasa pasukan Sri Pahang yang jika diambilkira secara kumulatif memang agak terumbang-ambing dalam saingan Liga Super musim ini.

Malah dalam perlawanan tersebut juga Sri Pahang tewas dengan jaringan 3-0 – suatu keadaan yang pasti menjadi “garis bawah” kesabaran kumpulan penyokong tersebut, yang akhirnya meledak; mengambil kira faktor keputusan perlawanan yang tidak memihak Sri Pahang secara kumulatif.

Advertisements
Sekumpulan penyokong pasukan Sri Pahang FC yang berkonfrontasi dengan para pemain

Benar, kumulatif adalah perkataan tepat untuk merujuk kepada pembinaan atau penumpukan rasa tidak puas hati sekumpulan penyokong yang mungkin kadangkala terlalu emosi dengan pasukan kesayangan mereka.

Tidak mungkin kumpulan penyokong ini melakukan konfrontasi jika pasukan kesayangan mereka cuma tewas dua atau tiga perlawanan sebelum menemui rentak kemenangan kembali. Kumpulan penyokong ini tidak membuta tuli mencetuskan konfrontasi dengan pemain.

Perasaan kecewa melihat pasukan kesayangan tewas perlawanan demi perlawanan atau begitu sukar sekali mencatatkan kemenangan akhirnya meletuskan luapan emosi kepada pemain berupa sebentuk konfrontasi di tepi padang usai perlawanan.

Advertisements

Konfrontasi Penyokong ke Pemain Lazim Berlaku

Tindakan atau kejadian penyokong konfrontasi pemain di tepi padang ini bukan hanya terjadi di Malaysia sahaja. Bahkan di negara yang skenario bola sepak-nya lebih besar daripada kita juga tidak terlepas mengalami situasi serupa.

Penyokong Genoa berkonfrontasi dengan pemain meminta pemain menanggalkan jersi mereka

Apatah lagi di negara yang kita ketahui penyokong bola sepak mereka sangat ekstrim seperti di Argentina dan di lain-lain negara Amerika Latin. Situasi penyokong melakukan konfrontasi kepada pemain selepas perlawanan sudah menjadi perkara lazim.

Di Malaysia sendiri terdapat beberapa kumpulan penyokong pasukan yang terkenal ekstrim dalam memberikan sokongan kepada pasukan kesayangan mereka dan sering menuntut lebih jika pasukan tersebut tidak menampilkan prestasi terbaik.

Advertisements

Salah satu yang sering terpalit dengan situasi konfrontasi pemain ini adalah penyokong Selangor FC (Selangor sebelum diswastakan).

Terdapat beberapa kejadian konfrontasi antara penyokong dengan pemain yang melibatkan pasukan ini (cuma dituliskan beberapa di sini).

Mungkin kita semua masih ingat pada Oktober 2014 apabila sekumpulan penyokong Selangor ‘menyerang’ Padang SUK dan berkonfrontasi dengan pemain; meminta penjelasan saat Selangor tewas 0-4 kepada Felda United dalam perlawanan Suku Akhir pertama Piala Malaysia tahun itu.

Advertisements
Situasi konfrontasi penyokong kepada pemain Selangor pada tahun 2014

Kejadian terbaru melibatkan Selangor FC adalah pada April tahun ini di mana sekumpulan penyokong mereka melakukan konfrontasi waima Selangor FC mencatat kemenangan 4-1 menentang KDA FC di Stadium MBPJ.

Menurut kumpulan penyokong tersebut; Selangor FC hampir tidak menepati KPI yang ditetapkan mereka iaitu jumlah bolos yang sudah agak tinggi meskipun Liga Super baru berjalan beberapa perlawanan sahaja.

https://www.youtube.com/watch?v=_D_Sm_KJQmg
April 2022; sekumpulan penyokong Selangor FC konfrontasi pemain

Pengaruh Jelek Konfrontasi Di Tepi Padang Usai Perlawanan

Situasi ini amat mengganggu sebenarnya. Emosi yang meluap-luap jika diluahkan pastinya sukar dikendalikan. Ini masalahnya jika penyokong melakukan konfrontasi di tepi padang sejurus tamat perlawanan. Mari kita cuba bayangkan.

Bayangkan jika pasukan kesayangan mereka tewas dan emosi penyokong meluap-luap; mengambil kira prestasi pasukan yang tidak memuaskan secara kumulatif dan mereka tetap ingin berkonfrontasi dengan pemain di tepi padang sejurus tamat perlawanan.

Bahasa yang mereka tuturkan pastinya bukanlah bahasa halus dan berhemah. Caci-maki dan carutan biasanya kedengaran dalam kejadian konfrontasi di tepi padang ini; meskipun tujuan mereka murni untuk pasukan kesayangan. Sukar mengawal pertuturan ketika emosi sudah menguasai minda.

Kasihan kepada para pemain. Bayangkan para pemain sudah memberikan yang terbaik di atas padang dan mereka tewas.

Di dalam bilik persalinan sudah semestinya mereka ‘ditegur’ atau mungkin dimarahi jurulatih yang juga kecewa dengan kekalahan (kita tidak tahu ini kerana lain jurulatih, lain karakter-nya).

Sebelum menghadapi situasi tidak menyenangkan di dalam bilik persalinan, para pemain terpaksa hadap makian dan carutan penyokong fanatik yang melakukan konfrontasi.

Mari kita bayangkan. Betapa penatnya minda pemain untuk mengharungi semua ini.

Elakkan Konfrontasi Di Tepi Padang

Perkara ini yang seharusnya dipertimbangkan oleh kumpulan penyokong yang sangat sayangkan pasukan mereka.

Mereka harus faham dan mengerti – persembahan pemain di atas padang adalah produk akhir yang dipersembahkan, hasil gabungan beberapa faktor.

Kumpulan penyokong tegar ini tidak boleh sewenang-wenangnya menyalahkan para pemain atas persembahan di atas padang apabila perkara tersebut pasti dipengaruhi beberapa faktor.

Kumpulan penyokong tegar ini harus menelusuri hingga ke akar – faktor apakah yang menyumbang kepada persembahan tidak bermaya pasukan mereka.

Tidak mungkin ianya 100% kesalahan para pemain. Sedikit sebanyak pasti ada kaitan dengan pihak pengurusan.

Justeru; para penyokong yang suka berkonfrontasi dengan pemain usai perlawanan ini haruslah bertanya kepada diri mereka – wajarkah mereka konfrontasi pemain?

Jika faktor merudumnya prestasi sesebuah pasukan itu bukanlah 100% datangnya daripada kesalahan pemain.

Contoh:

Pernahkah kumpulan penyokong ini berfikir secara mendalam atau datang dengan fakta-kajian – mungkin kesalahan taktikal daripada jurulatih yang menyebabkan sesebuah pasukan itu ‘rosak’ (mungkin faktor jurulatih terlalu kerap bereksperimen dengan taktikal, tidak menemui taktikal sesuai dengan set pemain dan sebagainya).

Jika begitu; tidak adil langsung sekiranya mereka konfrontasi pemain; sementara jurulatih yang menjadi punca utama masalah tersebut terlepas begitu sahaja tanpa mendengar caci-maki dan carutan daripada mereka, tetapi pemain yang kepenatan usai perlawanan yang jadi mangsa.

Contoh:

Pernahkah kumpulan penyokong ini berfikir secara logik bahawa mungkin keputusan pihak pengurusan dalam merekrut pemain import di awal musim yang menjadi punca ‘caca-marba-nya’ prestasi sesebuah pasukan itu dalam saingan liga.

Pengurusan merekrut import tanpa scouting teliti (mungkin hanya daripada sumber cuplikan video) dan para pemain import tersebut tidak memberikan impak kepada pasukan.

Kemudian apabila jendela perpindahan kedua dibuka, pengurusan ‘gelabah’ ingin mengganti pemain import baharu.

Sedang chemistry itu mungkin baru sahaja mula tercipta, tetapi pemain tempatan perlu kembali beradaptasi dan perlu kembali mencari chemistry dengan kumpulan pemain import yang baharu.

Jika ini masalahnya; wajarkah penyokong tegar ini konfrontasi pemain di tepi padang usai perlawanan?

Penyokong Tegar Harus Sabar

Ya, penyokong tegar harus sabar. Sebelum melakukan konfrontasi dengan pemain di tepi padang usai perlawanan, mungkin mereka harus berbincang sesama mereka – mencari faktor di sebalikmerudumnya prestasi pemain pasukan kesayangan mereka.

Mungkin sesekali mereka boleh berkonfrontasi dengan pihak pengurusan pasukan juga. Datang ke pejabat pengurusan dan duduk berbincang atau bermesyuarat di meja bundar – sama-sama mencari jalan penyelesaian bagi kemelut prestasi pasukan.

Mungkin ketika itu boleh juga jika dilibatkan para pemain. Pastinya pada waktu itu emosi mereka sudah teredam dan pastinya tiada lagi kita dengar kata-kata cacian atau makian daripada mereka.

Itu yang harus mereka lakukan jika benar sayangkan pasukan dan pemain.

Penutup

Budaya penyokong konfrontasi pemain ini bukanlah ulah secara umum, melainkan ia dicetuskan kumpulan penyokong atau individu tertentu yang kadangkala terlalu teruja atau terlalu menuntut dengan prestasi pasukan kesayangan.

Tidak salah dengan perkara itu. Namun sebagai penyokong yang berhemah, rasanya budaya konfrontasi pemain di tepi padang usai perlawanan ini hanya memalukan diri sendiri dan mempertontonkan kepada umum bahwa betapa ceteknya akal logik kita.

Tepuk dada, tanya bola.

 

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram