Advertisements
“Bukan Senang Letak Hong Wan Di Bangku Simpanan”
ACL
MakanBola
Johor Southern Tigers

Kualiti yang ada pada pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Iker Undabarrena terbukti selepas beliau mengambil alih tempat Hong Wan dan tampil cemerlang ketika diletakkan di bahagian tengah JDT.

Bagi bekas pemain kebangsaan dan JDT, S. Subramaniam, impak yang ditinggalkan Undabarrena sangat besar kerana baginya, bukan satu tugas yang mudah untuk meletakkan Hong Wan di bangku simpanan untuk digantikan pemain lain.

“Kita dapat lihat pengaruh Iker Undabarrena, seorang pemain yang berpengalaman beraksi di Sepanyol dan Portugal. Tempoh hari ketika perlawanan pertama (ACLE), permainan beliau begitu konsisten.

“Bermain sebagai tengah bertahan, hantarannya juga bagus dan bukan mudah untuk meletakkan Hong Wan di bangku simpanan. Maknanya pemain ini (Undabarrena) ada kualiti,” jelas Subramaniam seperti yang dikongsikan Astro Arena.

Subramaniam memuji kualiti yang dimiliki Undabarrena selepas melihat pemain itu beraksi cemerlang di dalam perlawanan AFC Champions League baru-baru ini.

Undabarrena yang baru menyertai JDT pada Ogos lalu telah beraksi dalam lima perlawanan setakat ini. Biarpun tidak menjaringkan sebarang gol namun kualiti yang dimiliki pemain berusia 29 tahun ini tidak boleh dinafikan lagi.

Selain Undabarrena bahagian tengah JDT juga turut memiliki pemain-pemain lain yang tidak kurang hebatnya seperti Afiq Fazail, Nazmi Faiz, Natxo Insa dan Hong Wan.