Ternyata pasukan Selangor sudah memberi petanda tentang konsep jersi baharu bagi musim hadapan sejak 5 tahun yang lalu.
Baru-baru ini, pasukan Selangor FC telah melancarkan jersi baharu untuk musim 2025-2026 dengan mengangkat tema ‘Inilah Baru Selangor’ yang pernah diungkapkan oleh bekas jurulatih, Ken Worden.
Diinspirasikan daripada rekaan jersi pasukan Selangor 1995, selain menjadi tanda penghormatan buat legenda antaranya Mehmet Durakovic, Azman Adnan, K. Sanbagamaran, Shahril Arsat pada era tersebut.
Menariknya, pelan untuk menghasilkan semula jersi pasukan Selangor 1995 ini bagaikan telah pun dirancang apabila tular kembali hantaran mengenai projek ini
Laman myjerseyzone memuatnaik semula hantaran Selangor FC bertarikh 11 Julai 2020 yang memaparkan jersi edisi 1995 beserta soalan kepada peminat untuk menghasilkan semula rekaan itu
”Rekaan ini dari tahun 1995. Patutkah kami hasilkan semula dalam masa terdekat,” tulis Selangor FC ketika 5 tahun lalu.
Kini, selepas 5 tahun, Selangor FC akhirnya merealisasikan pelan menghasilkan semula rekaan jersi edisi 1995 untuk digunakan sebagai konsep jersi Gergasi Merah musim akan datang.
Tinjauan di ruangan komen menyaksikan rata-rata peminat Selangor memuji rekaan semula jersi tersebut malah sudah ada yang berpeluang untuk menjadi yang terawal membeli pada hujung minggu lalu.