Hari ini, arena bola sepak Sabah kecoh apabila Datuk Seri Bung Moktar Radin mengumumkan perletakan jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) berkuatkuasa serta-merta.
Perletakan jawatan beliau ada kaitan dengan tindakannya sebagai pengerusi BN Sabah yang menarik BN keluar dari kerajaan negeri. Ini selepas pakatan tersebut hilang kepercayaan terhadap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Sebelum dipilih sebagai Presiden SAFA pada Jun 2021, Bung Moktar memangku jawatan tersebut selama enam bulan selepas dipilih oleh Ahli Majlis Tertinggi SAFA pada Disember 2020.
Bila ditanya sebab beliau meletak jawatan, Bung Moktar memberitahu ia dibuat atas kerelaan dirinya dan membolehkannya memberi fokus kepada kerjaya politik.
Walaupun sedikit kecewa dengan pencapaian yo-yo pasukan Sabah, beliau pada masa sama merasa gembira dengan beberapa penambahbaikan yang dibuat pada pembangunan akar umbi.
“Saya tetap gembira kerana sedikit sebanyak berjaya membawa perubahan kepada pentadbiran SAFA dan beberapa kejayaan pasukan Sabah FC walaupun ianya ditahap yang masih belum memuaskan.
“Mengurus badan induk bola sepak khususnya pasukan Sabah FC memerlukan sokongan dan dokongan semua pihak terutama dari peneraju utama kepemimpinan negeri yang memerlukan kesungguhan untuk membantu SAFA khususnya Sabah FC melangkah lebih jauh ke hadapan,” katanya.
Surat perletakan jawatan tersebut akan diberi kepada Setiausaha Agung SAFA dalam masa terdekat bagi membolehkan perkara tersebut dapat dimuktamadkan.
Bung Moktar turut menegaskan, sepanjang bergelar Presiden SAFA, beliau tidak mempunyai agenda peribadi. Malah, beliau juga mengakui cabaran dari segi kekangan masa dan kewangan menjadi cabaran utama dalam meningkatkan mutu bola sepak negeri itu.
“Menjadi harapan saya dan semua peminat yang selama ini menyanjung tinggi pasukan bola sepak Sabah agar terus memberikan sokongan kepada pengganti saya,” katanya.