Buriram United Makin Hampir Rekrut Bintang Warisan Indonesia
MakanBola
PSSI

Seorang bintang Indonesia bakal memperkuat benteng Buriram United untuk kempen musim 2025/26.

Pemain yang dimaksudkan ialah bek kiri Tim Garuda, Shayne Pattynama. ASEAN Football melaporkan Pattynama bakal menyertai Buriram sebagai ejen bebas.

Pattynama bakal menyertai Thunder Castle di bawah kuota pemain import ASEAN. Ini selepas kontraknya bersama kelab Belgium, KAS Eupen tidak diperbaharui untuk musim hadapan.

Buriram dilaporkan sudah mengatur ujian perubatan buat Pattynama pada 19 Mei ini sebelum memuktamadkan perpindahan tersebut.

Sekiranya semua proses perpindahan berjalan lancar, pemain berdarah Belanda-Indonesia itu bakal menjadi pemain ASEAN terbaru beraksi untuk Thunder Castle.

Buriram ketika ini menggunakan khidmat kapten Harimau Malaya, Dion Cools dan dua pemain Filipina, Jefferson Tabinas dan Neil Etheridge sebagai pemain import ASEAN.

Pattynama merekodkan 17 penampilan buat Eupen untuk musim 2024/25. Selain Eupen, beliau juga pernah beraksi untuk SC Telstar, Viking FK, skuad remaja Ajax Amsterdam dan FC Utrecht.