Persekutuan Badminton Sedunia (BWF) bakal menguji sistem kiraan 15 mata bagi menggantikan sistem kiraan 21 mata.
Usul menggunakan sistem 15 mata bagi menggantikan sistem 21 mata telah mendapat sokongan Majlis BWF dalam mesyuarat yang diadakan pada 9 November 2024.
Sistem 15 mata menyaksikan pemain meraih 15 mata dalam tiga set. Perlawanan dihentikan seketika apabila pemain mendapat lapan mata.
Sekiranya kedua-dua pemain terikat pada kedudukan 14-14, jurang dua mata diperlukan untuk memenangi set permainan. Mata maksimum ialah 21 mata.
BWF melihat sistem mata baru ini memiliki beberapa kelebihan berbanding sistem 21 mata. Ini kerana sistem ini bukan saja menjadikan perebutan mata dalam kalangan pemain lebih menarik.
Malah, ini secara tidak langsung menjadikan perlawanan lebih baik terutama dari segi penjadualan dan menjaga kebajikan pemain.
BWF bakal menjalankan sesi percubaan sistem 15 mata dalam beberapa kejohanan terpilih termasuk kejohanan bertaraf benua dan kejohanan bertaraf Gred 3 (International Challenge & Series, Future Series).
Ini bermakna saingan Malaysia International Challenge dan Malaysia International Series berpotensi menggunakan sistem mata itu untuk edisi 2025. Ini kerana Malaysia International Challenge diadakan pada 12 hingga 17 Ogos ini.
Saingan Malaysia International Series pula menyaksikan kejohanan itu akan berlangsung pada 9 hingga 14 September ini.
Tempoh percubaan untuk sistem mata tersebut diadakan dari April sehingga September atau Oktober 2025.
Keputusan akhir sama ada sistem 15 mata akan digunakan atau tidak bakal ditentukan dalam Mesyuarat Agung Tahunan BWF pada 2026. Keputusan tempoh percubaan dan tinjauan kaji selidik juga akan mempengaruhi keputusan penggunaan sistem mata berkenaan.